- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang Seksyen 18C Akta Pertubuhan dalam merangka RUU anti lompat parti, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan semua peruntukan yang relevan dan berkaitan akan diambil kira jawatankuasa khas yang merangka rang undang-undang itu.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semua peruntukan undang-undang yang berkaitan akan diambil kira semasa merangka RUU anti lompat parti untuk menghalang ahli Parlimen bertukar kem.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semua peruntukan undang-undang yang berkaitan akan diambil kira semasa merangka RUU anti lompat parti untuk menghalang ahli Parlimen bertukar kem.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini memberikan jaminan kerajaan akan mengambil kira semua peruntukan yang relevan dan berkaitan termasuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dalam merangka rang undang-undang (RUU) anti lompat parti bagi menghalang ahli Parlimen menukar parti.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau mengulangi jaminan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan akan tertakluk dengan akta itu khusus bagi menangani ahli Parlimen yang bertukar parti, cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan, dan penggubalan undang-undang berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar kem.

“Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan meneliti apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditanya sama ada draf RUU itu akan mempertimbangkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Awal hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata ahli Parlimen yang dipecat daripada parti tidak seharusnya dimasukkan ke dalam ruang takrifan lompat parti.

“Tidak ada ruang untuk ahli Parlimen ini mencabar keputusan partinya di mahkamah kerana adanya ouster clause dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

“Rayuan hanya boleh dibuat kepada Majlis Tertinggi parti yang hanya dikawal pemimpin parti. Adakah ini adil?”

Isu tersebut timbul susulan laporan MalaysiaNow pada 9 April bahawa RUU anti lompat parti boleh memberi kelebihan kepada kluster mahkamah Umno kerana undang-undang berasingan memberikan parti politik hak mutlak apabila melibatkan penyingkiran ahli.

Selain boleh menyebabkan wakil rakyat kehilangan kerusi jika mereka melompat parti selepas dipilih, RUU itu juga boleh menyebabkan mereka yang dipecat daripada parti hilang kerusi yang diwakili, walaupun pemecatan itu dibuat secara tidak sah, tidak adil atau dilakukan dengan penuh kontroversi.

Kluster mahkamah adalah gelaran terhadap sekumpulan bekas pemimpin kerajaan dan ahli Parlimen yang menghadapi pertuduhan jenayah diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Akhir tahun lalu, Najib gagal dalam rayuannya di mahkamah untuk membatalkan sabitan rasuah melibatkan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau kini dalam proses rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengelak hukuman penjara 12 tahun.

Ketika Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Najib dan Zahid mengetuai kempen supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.

Mereka berharap kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini dapat diulangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan penguasaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang pada 2018.