- Iklan -
Berita

Presiden Singapura tolak beri pengampunan kepada Nagaenthran, hukuman mati diteruskan

Perkembangan terbaru ini menyebabkan usaha untuk merayu hukuman gantungnya kini menemui jalan buntu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.
Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Pihak berkuasa Singapura menolak satu lagi petisyen mewakili Nagaenthran K Dharmalingam, menyebabkan sebarang usaha undang-undang untuk merayu hukuman matinya kini menemui jalan buntu di republik itu.

Setiausaha sulit presiden Singapura, Benny Lee berkata petisyen bertarikh 3 Disember 2021 tersebut tidak diluluskan.

“Dengan ini dimaklumkan pendirian yang diambil seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 1 Jun 2020 kekal tidak berubah,” katanya dalam surat kepada ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam pada 31 Mac lalu – dua hari selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan Nagaenthran bagi meringankan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

“Berikutan itu, hukuman mati akan diteruskan.”

Nagaenthran yang kini berusia 34 tahun ditahan pada 2009 kerana menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura, sebuah negara yang mempunyai undang-undang paling keras di dunia berkait kesalahan dadah.

Dia dijatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya.

Penyokong Nagaenthran berkata banduan warga Malaysia yang mempunyai skor IQ 69 itu – membolehkannya diiktiraf sebagai orang kurang upaya (OKU) mental – dipaksa untuk melakukan jenayah tersebut.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu.

Pelaksanaan hukuman itu ke atas Nagaenthran mencetuskan kritikan ramai yang membangkitkan keadaannya sebagai OKU mental.

Antara badan dan kenamaan yang mengkritik keputusan Singapura itu termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan taikun syarikat penerbangan Britain, Richard Branson.

Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada pihak berkuasa Singapura bagi merayu hukuman Nagaentran diringankan.

Surat yang dikeluarkan pada 2020 yang dirujuk Lee tersebut menyatakan “selepas pertimbangan sewajarnya terhadap petisyen dan atas nasihat Kabinet”, Presiden Singapura Halimah Yacob memutuskan bahawa pelaksanaan hukuman mati Nagaentran perlu dikekalkan.

Pada 29 Mac, Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan banduan bilik akhir tersebut, selain turut menuduh proses diambil peguam Nagaenthran itu sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.