- Iklan -
Berita

Penyokong Imran Khan adakan protes di seluruh Pakistan

Orang ramai berhimpun sambil memegang sepanduk menyokong kepimpinan perdana menteri Pakistan itu dan melaungkan slogan anti kuasa asing.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Aktivis Tehreek-e-Insaf (PTI) melaungkan sokongan terhadap Imran Khan di Islamabad. Gambar: AFP
Aktivis Tehreek-e-Insaf (PTI) melaungkan sokongan terhadap Imran Khan di Islamabad. Gambar: AFP

Penyokong bekas Perdana Menteri Imran Khan mengadakan protes besar-besaran di seluruh Pakistan pada Ahad selepas pemimpin itu disingkirkan menerusi usul undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu.

Protes meletus di beberapa bandar utama termasuk Islamabad, Lahore, Karachi, Peshawar, Faisalabad, Quetta dan Rawalpindi.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah negara, sejumlah besar rakyat berhimpun secara spontan di seluruh negara,” ciap Imran di Twitter.

Imran mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pakistan atas “sokongan yang diberikan tanda bantahan kepada perubahan tampuk pemerintahan yang disokong pihak asing”.

Orang ramai termasuk belia, wanita dan seluruh keluarga berhimpun sambil memegang sepanduk menyokong kepimpinan Imran dan melaungkan slogan anti kuasa asing.

Protes besar-besaran menunjukkan keupayaan Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) untuk menggerakkan sokongannya secepat mungkin.

“PTI mempunyai jumlah penyokong yang ramai di hampir setiap bandar Pakistan. Populariti Imran semakin melonjak,” menurut wartawan, Amir Zia.

Pergerakan Demokratik Pakistan (PDM) memperoleh 174 undi ketika usul tidak percaya dibentangkan di Parlimen yang dianggotai 342 ahli Parlimen, sekali gus menggulingkan kerajaan diketuai Imran yang berusia 44 bulan.

Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Shehbaz Sharif, adik bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif, dicalonkan menggantikan Imran.

Sementara itu, PTI mencalonkan bekas menteri luar Shah Mahmood Qureshi untuk mencabar Shehbaz bagi jawatan perdana menteri baru.