- Iklan -
Berita

Penganalisis terangkan kesan pengambilalihan 4 konsesi tol oleh Putrajaya

Ahli ekonomi berkata langkah tersebut adalah situasi menang-menang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Lebuh raya LDP di Bandar Utama. Selain LDP, tiga lagi lebuh raya termasuk Kesas, SPRINT, dan SMART bakal distruktur semula.
Lebuh raya LDP di Bandar Utama. Selain LDP, tiga lagi lebuh raya termasuk Kesas, SPRINT, dan SMART bakal distruktur semula.

Cadangan pengambilalihan empat konsesi tol oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) dilihat oleh pakar ekonomi sebagai satu situasi memang-menang apabila kerajaan tidak mengeluarkan wang untuk pembelian tol tersebut, selain tidak perlu membayar pampasan kepada konsesi supaya tidak menaikkan kadar tol.

Empat konsesi tol itu ialah Kesas, LDP, Sprint, dan Smart dengan nilai agregat sebanyak RM5.48 bilion.

Pakar ekonomi dari Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dua konsesi itu akan dipanjangkan tempoh manakala dua lagi akan dikurangkan.

“Menerusi pemilikan oleh ALR, konsesi akan tamat pada satu tempoh yang sama supaya dapat diberikan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sekali gus dan bukannya secara berperingkat.

“Kita beranggapan selepas tamat konsesi 11 tahun itu, kita tidak perlu bayar tol, tetapi kita tidak tahu lagi selepas LLM ambil alih, bagaimana mereka hendak jana hasil untuk selenggara keempat-empat lebuh raya itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, tiada jaminan tol tidak perlu dibayar selepas tamat konsesi.

Berkemungkinan, pengguna keempat-empat lebuh raya perlu juga membayar tol namun pada kadar yang amat rendah untuk meliputi kos penyelenggaraan.

Putrajaya sebelum ini dilaporkan perlu membayar pampasan sebanyak RM1.51 bilion kepada pemegang konsesi lebuh raya kerana membekukan kenaikan tol di seluruh negara.

Penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, pengambilalihan itu merupakan gabungan beberapa perkara sekali gus.

“Ia mungkin melibatkan beberapa elemen ‘bail-out’ kerana operator-operator sedia mengadu mengenai trend pengurangan trafik di lebuh raya kerana ketersediaan MRT.

“Ia juga satu rahmat kerana pihak operator bersedia untuk menurunkan harga asal yang ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu antara RM5 ke RM6 bilion,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, pengambilalihan itu juga akan menjadi satu uji kaji yang mana beberapa individu yang disokong oleh kerajaan tampil untuk membida tanpa niat untuk mendapatkan keuntungan.

Mengulas mengenai konsesi yang sudah hampir ke penghujung, Barjoyai berkata lapan tahun merupakan satu tempoh lama untuk konsesi tol.

Operator baru (ALR) akan hanya menerima bayaran tol dengan kos operasi dan penyelenggaraan minimum.

Dalam pada itu, Razman berkata isu yang membabitkan pengambilalihan itu ialah bagaimana ALR boleh mendapatkan pembiayaan melalui terbitan sukuk yang tidak dijamin kerajaan.

Syarikat swasta itu baru-baru ini dilaporkan menerbitkan sukuk untuk menjana dana yang diperlukan untuk pengambilalihan tersebut.

“Penjelasan diperlukan bagaimana ALR hendak beli kalau sukuk tidak dijamin kerajaan, sejauh mana perkara itu boleh meyakinkan pembeli sukuk?” katanya.

Barjoyai pula menjangkakan, hasil bersih kutipan tol boleh digunakan untuk membayar nilai pengambilalihan RM5 bilion itu yang boleh dibayar secara berperingkat.

“Kos keseluruhan boleh diselesaikan sebelum konsesi tamat. Hanya jika kutipan tol tidak mencukupi barulah konsesi akan dilanjutkan untuk tempoh yang diperlukan,” katanya yang menambah, pemilik-pemilik baru konsesi perlu dipantau agar tidak menyalahguna kuasa dengan membayar diri mereka (excessive remuneration) secara berlebihan selain mengakibatkan kos-kos yang tidak perlu semasa tempoh konsesi.

Bagi mengelakkan terma-terma yang berat sebelah, ahli Parlimen boleh bertindak sebagai wakil untuk memastikan terma-terma yang dibuat memihak kepada rakyat.

“Ini merupakan satu kes ujian untuk model seperti ini.

“Kita boleh melanjutkan model ini untuk membalikkan institusi dan aktiviti-aktiviti swasta di seluruh negara,” katanya.