- Iklan -
Berita

Nagaenthran dinafikan pertimbangan saksama, kata peguam selepas pengampunan ditolak

Menurut M Ravi, kerajaan Singapura tidak mengambil kira perkembangan terbaru kes banduan bilik akhir itu.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam M Ravi di luar mahkamah Singapura pada November 2021 menjelang perintah mahkamah mengenai rayuan untuk menggugurkan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP
Peguam M Ravi di luar mahkamah Singapura pada November 2021 menjelang perintah mahkamah mengenai rayuan untuk menggugurkan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam. Gambar: AFP

Peguam hak asasi terkemuka Singapura M Ravi berkata banduan bilik akhir warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam dinafikan pertimbangan saksama dalam rayuan pengampunan hukuman matinya, selepas presiden republik itu menolak petisyennya sekali gus mengekalkan hukuman tersebut.

Ravi berkata keputusan terbaru yang menolak pengampunan diberikan kepada Nagaentran hanya mengekalkan pendirian kerajaan Singapura pada 2020, tanpa mengambil kira perkembangan terbaru kes tersebut.

“(Keputusan ini) juga dilihat tidak mengambil kira perkembangan terkini termasuk beberapa rayuan oleh Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri Malaysia, selain laporan psikiatri terbaru Nagaenthran yang dikemukakan di mahkamah,” kata Ravi kepada MalaysiaNow ketika diminta mengulas mengenai keputusan terbaru itu.

Ravi seterusnya memetik undang-undang Singapura yang menyatakan bahawa dalam mempertimbangkan rayuan bagi pengampunan banduan, presiden dijangka bertindak mengikut nasihat Kabinet selain perlu mengambil kira laporan hakim perbicaraan dan pandangan peguam negara.

Penolakan terbaru terhadap rayuan pengampunan Nagaenthran tersebut dimaklumkan dalam surat bertarikh 31 Mac 2022.

“Dengan ini dimaklumkan pendirian yang diambil seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 1 Jun 2020 kekal tidak berubah,” kata surat dari pejabat presiden kepada ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam.

Pendirian presiden Singapura itu dimaklumkan dua hari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Nagaentran terhadap hukuman matinya.

Nagaenthran yang kini berusia 34 tahun ditahan pada 2009 kerana menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura, sebuah negara yang mempunyai undang-undang paling keras di dunia berkait kesalahan dadah.

Dia dijatuhkan hukuman mati pada tahun berikutnya dan dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu.

Nasib Nagaenthran mengundang perhatian antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan taikun syarikat penerbangan Britain, Richard Branson.

Kontroversi berhubung hukuman mati Nagaenthran timbul selepas dia didapati memiliki skor IQ 69 – menjadikannya orang kurang keupayaan (OKU) mental – sekali gus menyebabkan pelaksanaan hukuman ke atasnya tidak sah di bawah undang-undang Singapura selain turut melanggar perjanjian antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah antara pemimpin kerajaan Malaysia yang secara peribadi merayu agar pihak berkuasa Singapura meringankan hukuman Nagaentran.