- Iklan -
Berita

Lambakan NGO: Kebajikan atau buat untung?

Walaupun banyak NGO yang benar-benar berusaha membantu golongan memerlukan, namun ada juga yang dilihat ingin mengaut keuntungan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Sukarelawan membantu mangsa banjir membersihkan kawasan sekitar rumah mereka yang terjejas di Hulu Langat, Selangor. Walaupun banyak organisasi yang ikhlas membantu golongan yang memerlukan, namun wujud juga mereka yang mahu mengaut keuntungan.
Sukarelawan membantu mangsa banjir membersihkan kawasan sekitar rumah mereka yang terjejas di Hulu Langat, Selangor. Walaupun banyak organisasi yang ikhlas membantu golongan yang memerlukan, namun wujud juga mereka yang mahu mengaut keuntungan.

Persoalan berhubung lambakan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia sering dibangkitkan, di mana pertubuhan sedemikian dikhuatiri menjadi alat manipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan peribadi.

Kebimbangan tersebut timbul berikutan polisi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membenarkan mana-mana NGO yang mengutip dana untuk mengambil sehingga 30% jumlah kutipan.

Pengasas Scrut, Aliff Ahmad A S Ahmad Shariffuddin berkata, disebabkan kelonggaran itu gerak kerja NGO didapati amat mudah untuk mengaut keuntungan.

“Sebab itu makin ramai buat NGO. Kerja senang. Bukan duit mereka. Orang bayar untuk mereka buat baik. Mereka dapat duit, mereka pula nampak baik,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Cuma saya tertanya-tanya, masa anda semua buat derma atau infaq tu, adakah anda memang rela RM100 yang disumbangkan kepada asnaf tu, hanya sampai RM70? RM1,000 sampai kat asnaf RM700 sahaja. Adakah kalian  tahu tentang ini?”

Scrut merupakan laman sesawang yang menjalankan laporan pemeriksaan teliti terhadap profil dan pangkalan data bagi kenderaan-kenderaan import terpakai.

Selain itu Aliff dan pengasas bersama Scrut, Nik Izwan Kamel sudah banyak menyediakan laporan pemeriksaan terhadap beberapa NGO dan perniagaan.

Baru-baru ini Aliff turut menyediakan laporan tentang syarikat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Aliff berkata, disebabkan perbuatan itu tidak menyalahi undang-undang, maka tidak hairan ramai pihak sangat obses dalam menubuhkan NGO masing-masing meskipun jelas mereka tidak mempunyai asas matlamat yang kukuh atau agenda dan pembangunan masyarakat.

“Kalau anda berjaya raih RM100,000, anda boleh guna RM30,000 sebagai pengurusan. Begitulah seterusnya,” katanya.

Bermula dua dekad lalu

Sejak dua dekad lalu, lebih ramai aktivis dan kumpulan mendaftarkan diri sebagai NGO dengan rata-rata menunjukkan minat kepada tujuan kebajikan dan membantu rakyat memerlukan selain berkempen mengenai isu-isu tertentu seperti demokrasi.

Sehingga kini, sebanyak 72,444 NGO sudah berdaftar di Malaysia dengan pelbagai latar belakang dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Malah, terdapat usahasama antara NGO dan kerajaan dijalinkan sejak sekian lama dalam memantau polisi dan dasar yang dibentuk.

Bagaimanapun, tidak semua NGO yang berdaftar dapat dilihat melakukan kerja-kerja yang bermanfaat selain mengeluarkan kenyataan media apabila terdapat sesuatu isu yang berkaitan.

Seorang aktivis yang aktif dalam membantu golongan miskin kota, William Cheah dari Kembara Kitchen berkata, trend pertumbuhan NGO baru adalah sesuatu yang biasa terutama sekali selepas peristiwa banjir besar di Pantai Timur pada tahun 2014.

Malah, selepas banjir besar dan mengejut melanda Selangor pada Disember tahun lalu, menunjukkan penambahan NGO yang lebih daripada biasa.

Katanya, semuanya tidak menjadi masalah sekiranya NGO-NGO tersebut mempunyai fokus utama dan saling bekerjasama untuk membawa kebaikan dan membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan.

“Sekiranya tidak, bantuan dan usaha mungkin bertindih, mengakibatkan pembaziran sumber malah mungkin juga berlakunya konflik sesama mereka,” kata aktivis veteran itu kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, bantuan kemanusiaan dan pembangunan seringkali dipersoalkan ketelusannya dan kerap kali dilaporkan tidak cekap dan memakan kos yang mahal.

Salah guna NGO

Sebelum ini, beberapa siri pendedahan terhadap aktivis dan NGO menjadi tumpuan rakyat.

Antaranya, kes penderaan dan penganiayaan yang dilakukan kepada remaja “sindrom down” yang dikenali sebagai Bella oleh anak-anak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diletakkan di Rumah Bonda meskipun tidak berlesen.

Rumah Bonda diasaskan Siti Bainun yang juga ahli Puteri Umno.

Aktivis hak asasi kanak-kanak terkenal pula, Syed Azmi Alhabshi terlibat sebagai penasihat.

Sehingga kini, Syed Azmi masih menerima kritikan kerana berdiam diri.

Kes ini sedang berada dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Begitu juga, isu sumbangan rakyat Malaysia kepada tabung dana oleh penceramah agama terkenal Ebit Lew dalam satu misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin pada tahun lalu.

Orang ramai yang menyumbang kepada misi kemanusiaan kendalian pendakwah tersebut tampil bertanya ke mana sumbangan mereka pergi selepas ia tidak digunakan di Palestin.

Ia susulan kenyataan Ebit bahawa perbelanjaan beliau untuk ke Gaza adalah dengan menggunakan duitnya sendiri tanpa melibatkan wang dan dana daripada pihak luar.

Sementara itu, seorang aktivis yang tidak asing lagi dalam dunia NGO, Raja Shamri Raja Husin berkongsi pengalaman beberapa keping gambarnya dan pasukan yang sedang membantu orang ramai digunakan oleh pihak ketiga untuk mengutip dana.

Katanya, pihak tersebut merupakan sebuah NGO yang bertindak menggunakan gambar-gambarnya tanpa kebenaran dengan memaparkan nombor akaun bank mereka untuk tujuan kutipan dana.

Beliau khuatir, kehadiran NGO baru akan memberikan kesan buruk kepada gerak kerja  masyarakat dengan unsur penipuan dan ambil kesempatan.

“Mereka berpangkalan di Putrajaya dan dalam gambar itu, kelihatan saya sedang membantu asnaf di kampung pedalaman di Kelantan,” katanya MalaysiaNow.

Sementara itu, Aliff memberitahu, tidak hairan sekiranya pengemudi utama sesebuah pertubuhan dilihat hidup mewah dan sanggup berhenti kerja untuk menjaga NGO secara sepenuh masa.

Ini kerana, katanya, berkemungkinan semua kos operasi, gaji dan bayaran-bayaran lain sudah ditanggung melalui sumbangan atau kutipan dana.

“Ada yang lebih tradisional, kutip derma dari rumah ke rumah. Ada komisien mereka nanti, 30%. Kemudian, pandai-pandailah bahagi-bahagikan. Setiap orang akan ada bahagian masing-masing.

“Mereka dibayar untuk buat perkara yang mereka suka. Siapa yang tak suka hulur derma tapi dapat gaji? Malah, imej pun nampak baik,” katanya.

MalaysiaNow sudah menghubungi dan menunggu jawapan dari beberapa NGO berhubung kenyataan dan dakwaan tersebut.