- Iklan -
Berita

RUU lompat parti bakal manfaatkan kluster mahkamah untuk bubar Parlimen?

Ia juga boleh beri kelebihan kepada parti politik yang mempunyai sejarah panjang pergolakan dalaman, menyebabkan lebih banyak PRK perlu diadakan.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (kanan) dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi mengetuai sekumpulan ahli Parlimen Umno yang dikenali sebagai kluster mahkamah. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak (kanan) dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi mengetuai sekumpulan ahli Parlimen Umno yang dikenali sebagai kluster mahkamah. Gambar: AFP

Peruntukan yang ada dalam rang undang-undang (RUU) anti lompat parti yang kini hangat diperkatakan bakal memberi kelebihan kepada sekumpulan pemimpin Umno yang mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pilihan raya lebih awal, MalaysiaNow difahamkan daripada beberapa ahli Parlimen parti Melayu itu yang menentang sekumpulan ahli politik yang digelar kluster mahkamah.

Selain boleh menyebabkan wakil rakyat kehilangan kerusi jika mereka melompat parti selepas dipilih, RUU itu juga boleh menyebabkan mereka yang dipecat daripada parti hilang kerusi yang diwakili, walaupun pemecatan itu dibuat secara tidak sah, tidak adil atau dilakukan dengan penuh kontroversi.

Hal ini timbul ekoran undang-undang berasingan yang memberikan hak mutlak kepada parti politik jika ia melibatkan penyingkiran ahli.

Di bawah Akta Pertubuhan 1966, sebarang keputusan parti politik berkaitan hal ehwal organisasinya tidak boleh dicabar di mahkamah.

Ini bermakna ahli Parlimen dipecat akibat lantang menentang dasar parti boleh menyebabkannya kehilangan kerusi yang diwakili tanpa boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang.

“Jadi, jika dibaca bersama RUU anti lompat, ia seakan pucuk dicita ulam mendatang kepada kluster mahkamah dalam Umno, yang semua orang tahu mempunyai kawalan ke atas proses disiplin parti,” kata seorang ahli Parlimen Umno yang tidak mahu dikenali kepada MalaysiaNow.

Kluster mahkamah adalah gelaran terhadap sekumpulan bekas pemimpin kerajaan dan ahli Parlimen yang menghadapi pertuduhan jenayah diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Akhir tahun lalu, Najib gagal dalam rayuannya di mahkamah untuk membatalkan sabitan rasuah melibatkan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau kini dalam proses rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengelak hukuman penjara 12 tahun.

Sementara itu, Zahid yang dibicarakan atas kes rasuah diperintah oleh mahkamah untuk membela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan jutaan ringgit melibatkan sebuah yayasan kebajikan.

Prosiding mahkamah tersebut dijadualkan bermula akhir bulan ini.

Ketika Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Najib dan Zahid mengetuai kempen supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.

Mereka berharap kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini dapat diulangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan penguasaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tumbang pada 2018.

Pemerhati politik secara umumnya bersetuju sikap tidak ambil peduli dalam kalangan pengundi pada PRN yang diadakan sepanjang tempoh pandemik adalah punca kadar peratusan keluar mengundi dicatatkan paling rendah dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Menurut mereka, keadaan itu membolehkan Umno mengumpul undi penyokong tegarnya sekali gus dapat mengembalikannya ke tampuk pentadbiran.

Ramai juga pemerhati politik mengaitkan keghairahan Najib dan Zahid yang mahu PRU diadakan lebih awal sebagai strategi untuk mengelak daripada pertuduhan jenayah di mahkamah melalui penguasaan kerajaan persekutuan yang dinikmati Umno sebelum PRU14.

Bagaimanapun, dua pemimpin itu menghadapi tentangan hebat bukan sahaja dari Ismail Sabri Yaakob yang mendapat sokongan sebagai perdana menteri daripada musuh Umno, iaitu Perikatan Nasional (PN), malah turut ditentang anggota Kabinet Umno dan BN yang turut menentang kluster mahkamah.

“Jika RUU anti lompat parti ini menjadi undang-undang dan diwartakan, Zahid dan Najib ada serampang dua mata: pertama, mereka boleh bersihkan parti daripada ahli Parlimen dan menteri yang anti kluster mahkamah, dan akibatnya, kerajaan Ismail jatuh kerana ahli Parlimen yang menentang mereka kehilangan status (sebagai wakil rakyat),” kata sumber yang rapat dengan Umno Johor.

Sokongan Zahid terhadap undang-undang anti lompat adalah tidak selari dengan pendirian Umno sejak beberapa dekad lalu, di mana parti itu dilihat menarik wakil rakyat pembangkang bagi meningkatkan bilangan sokongannya.

Pada 1990-an, ketiadaan undang-undang anti lompat parti memberikan kelebihan kepada Umno dalam usaha menjatuhkan kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS.

Perkara yang sama turut berlaku pada 2009 apabila ia mendalangi kejatuhan pentadbiran Perak yang diterajui DAP.

Walaupun butiran penuh mengenai cadangan undang-undang anti lompat parti masih belum diumumkan, Zahid menjadi antara penyokong utamanya termasuk beberapa pemimpin dari PKR.

Ketika ditanya sama ada RUU itu mengambil kira kuasa luas yang diberikan kepada parti politik di bawah Akta Pertubuhan, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengelak daripada memberikan butiran lanjut.

“Kami masih dalam proses merangka RUU ini, dan saya tidak akan bincang mengenainya secara terbuka lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada 7 April, Wan Junaidi yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa pemandu MoU kerajaan dan PH mengatakan rancangan bagi menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti masih diteruskan di mana draf awal akta itu akan diedarkan sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April.

Beliau berkata pindaan juga akan dibentangkan melibatkan penggubalan punca kuasa (enabling cause) di bawah Perkara 10 Perlembagaan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baru berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti.

Namun, pindaan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada ahli Parlimen.

Parti tidak stabil boleh kucar-kacirkan kerajaan?

Selain memberi kelebihan kepada pemimpin Umno yang begitu ghairah mahu PRU diadakan lebih awal, timbul juga persoalan sama ada draf undang-undang anti lompat parti yang ada ketika ini akan disalahgunakan oleh parti politik yang mempunyai sejarah panjang pergolakan dalaman.

“Lebih mudah untuk tukar pemimpin kerajaan kerana parti politik mahu begitu.

“Dan tidak akan ada lagi keperluan untuk mengadakan muslihat politik yang kita pernah saksikan satu ketika dulu di Kajang,” kata sumber dalaman PKR, merujuk Langkah Kajang pada 2014, di mana Anwar Ibrahim gagal dalam rancangan menaikkan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor dengan memaksa pilihan raya kecil (PRK) diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Bagaimanapun, rancangan itu mendapat tentangan dari PAS yang ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kelompongan kuasa berlaku selepas menteri besar ketika itu, Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan sementara Sultan Selangor menolak pencalonan Wan Azizah.

Sumber PKR itu berkata, undang-undang anti lompat parti yang turut merangkumkan pemecatan ahli parti akan memudahkan pemimpin kerajaan yang tidak selari dengan pemimpin tertinggi parti dipecat daripada jawatannya.

“Dan jika dilihat dalam konteks parti politik yang tidak stabil dan sentiasa bergolak seperti PKR, ia bermakna PRK akan diadakan lebih kerap jika wakil rakyat dipecat daripada parti,” tambahnya.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya berkata senario seperti itu mungkin boleh berlaku, namun mengatakan masih terlalu awal untuk mengulas mengenainya.

“Ia (RUU anti lompat parti) belum dibentangkan. Jadi kita tidak tahu tentang kandungannya. Lagipun, ia belum dibentangkan apatah lagi untuk diwartakan,” katanya.