Monday, May 16, 2022

SPRM reman 8 suspek termasuk eksekutif GLC berhubung rasuah RM2.3 bilion

Enam suspek ditahan di Putrajaya manakala dua lagi di Sarawak.

Other News

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah sebanyak RM2.3 bilion melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun tersebut dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Di Putrajaya, majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu dan lima hari terhadap empat individu.

Sementara itu, majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan permohonan reman selama lima hari dan dua hari terhadap dua lagi suspek di Kuching.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek yang terdiri daripada ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat dipercayai terlibat dalam perlakuan rasuah membabitkan beberapa projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara 2017 hingga 2021.

Sumber turut berkata kesemua suspek ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya dan SPRM Sarawak antara 1.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Tambahnya, susulan penahanan tersebut, beberapa sitaan oleh SPRM dilaksanakan termasuk 10 kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000 dan lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk bongkah emas, 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah.

SPRM juga turut membekukan 12 akaun syarikat dan individu susulan penahanan itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles