- Iklan -
Berita

Penggunaan bahasa Melayu di peringkat global boleh tingkat imej, namun dibimbangi jejas perniagaan

Pakar ekonomi berkata keyakinan pelabur mungkin terjejas walaupun terdapat cara untuk mengurangkan kesan yang timbul akibat perubahan dasar tersebut.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melintasi deretan Jalur Gemilang di  Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pakar ekonomi bimbang penggunaan bahasa Melayu di peringkat global akan menghasilkan kesan negatif secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi.
Orang ramai melintasi deretan Jalur Gemilang di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pakar ekonomi bimbang penggunaan bahasa Melayu di peringkat global akan menghasilkan kesan negatif secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

Memperkasakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa diyakini akan meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia, namun dibimbangi akan menghasilkan kesan negatif secara tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi, kata penganalisis.

Mereka berkata, Malaysia setelah berdekad lalu, dikenali menggunakan bahasa Inggeris ketika melakukan urus niaga dan jalinan hubungan diplomatik dengan negara luar dan ianya seperti sudah menjadi bahasa kedua dalam negara.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata antara kesan tidak langsung daripada langkah ini ialah menjejaskan peluang perdagangan dan pelaburan apabila pelabur asing akan mula beralih daripada Malaysia kerana berdepan kesukaran memahami bahasa tempatan.

“Memandangkan bahasa Inggeris merupakan lingua franca bagi perdagangan dan industri selain memudahkan Malaysia melakukan urus niaga dan menghasilkan persekitaran pelaburan yang menarik, tanggapan salah yang berlaku akibat perubahan dasar itu mungkin tidak begitu meluas,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagaimanapun, ia akan menjejaskan keyakinan pelabur jika dasar itu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk sektor swasta.”

Bagaimanapun katanya, ia tidak akan memberi kesan secara langsung terhadap ekonomi negara sekiranya perkhidmatan penterjemah disediakan.

Yeah berkata, penolakan bahasa Inggeris dalam kalangan usahawan tempatan mungkin juga akan menyukarkan mereka memasuki pasaran antarabangsa kerana boleh menyebabkan halangan dari segi komunikasi.

“Persidangan dan mesyuarat di peringkat global melibatkan pemimpin politik dan pegawai kerajaan yang membenarkan penggunaan bahasa ibunda masing-masing kebiasannya disediakan khidmat penterjemah secara langsung.

“Selagi khidmat penterjemah disediakan, pilihan bahasa tidak akan menjejaskan keupayaan untuk berkomunikasi bagi menyampaikan maklumat secara efisien,” tambahnya.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada sesi soal jawab di Dewan Negara, menyatakan bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Asean bagi mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua rantau ini.

“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

“Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia,” kata Ismail.

Cadangan itu turut dipersetujui Presiden Indonesia Joko Widodo menerusi sidang akhbar bersama baru-baru ini.

Namun begitu, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim menolak cadangan tersebut dan mendakwa bahasa negara itu merupakan pilihan yang lebih baik sebagai bahasa kedua Asean kerana populasi negara itu yang lebih besar.

Katanya disebabkan itu bahasa Indonesia lebih luas penggunaannya berbanding bahasa Melayu.

Imej Malaysia naik sekiranya diterima

Mengulas mengenai impak signifikan terhadap negara sekiranya bahasa Melayu diiktiraf di peringkat antarabangsa, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Awang Sariyan, berkata ia akan melonjakkan maruah dan imej negara di mata dunia.

Katanya, langkah itu akan meletakkan Malaysia bersama 70% negara sedunia yang menggunakan bahasa kebangsaan di forum antarbangsa.

“Impak lain ialah pengantarabangsaan karya ilmu dan sastera dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa-bahasa sedunia melalui terjemahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Hal itu ada impak dalam mengangkat tamadun negara ke persada dunia sekali gus memberikan nilai ekonomi bahasa Melayu.”