- Iklan -
Berita

Pendakwaan gagal bukti kes prima facie berhubung kematian CEO Cradle Fund

Peguam Rahmat Hazlan berkata semua hujah dan bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan telah berjaya dikucar-kacirkan oleh pembelaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund. Gambar: Bernama
Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bahawa pendakwaan gagal mengemukakan hujah atau bukti yang mengaitkan kesemua tertuduh iaitu Samirah Muzaffar dan dua remaja dengan pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.

Peguam Rahmat Hazlan berkata semua hujah dan bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan telah berjaya dikucar-kacirkan oleh pembelaan.

“Kami telah mendedahkan bahawa saksi pendakwaan tidak boleh dipercayai, keterangan mereka tidak konsisten dan berat sebelah. Selepas 57 saksi dipanggil dan lebih tiga tahun perbicaraan, pembelaan berhujah bahawa satu kes prima facie tidak dapat dibuktikan terhadap kesemua tertuduh baik secara individu mahupun secara bersama,” katanya di akhir kes pendakwaan di hadapan hakim Ab Karim Ab Rahman.

Balu Nazrin, Samirah, 47, dan dua remaja, kini berumur 19 dan 16 tahun, serta seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh lelaki itu di rumah mangsa di Mutiara Damansara di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokkan harinya.

Rahmat berhujah pembelaan juga berjaya menunjukkan bukti yang tidak dapat dipertikai bahawa kesemua tertuduh dan si mati mempunyai hubungan baik dan ini boleh dilihat daripada acara “buka puasa” keluarga itu pada 13 Jun 2018.

“Samirah dan si mati turut membeli-belah untuk Hari Raya pada 11 dan 13 Jun 2018 seperti pasangan suami isteri lain,” katanya.

Beliau berkata ketika tragedi itu berlaku pada 14 Jun 2018, pihak berkuasa telah membersihkan insiden itu daripada sebarang perbuatan jenayah, begitu juga dengan unit K-9 dan rumah serta bilik tersebut itu dikembalikan kepada Samirah pada hari sama.

Seorang ahli patologi kanan Dr Siew Sheue Feng, yang juga saksi pendakwaan ke-46 dan sepasukan doktor yang diketuainya mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah disebabkan oleh letupan manakala seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan bahawa sememangnya terdapat letupan telefon bimbit. Tanpa sebarang syak wasangka, polis telah mengklasifikasikan tragedi itu sebagai ‘Kematian Mengejut.’

“Bagaimanapun, Pegawai Sains JPBM Aznor Sheda Shamsuddin (SP14) membuat keputusan sendirian dalam laporan makmalnya yang tidak bertauliah menggunakan kaedah pilihannya yang tersasar tanpa mematuhi mana-mana prosedur operasi standard dengan penemuan petrol dalam tiga sampel yang didakwa diambil dari bilik itu,” katanya.

Rahmat berkata penemuan petrol oleh SP14 tanpa semakan balas oleh mana-mana ahli kimia lain dari Jabatan Kimia merupakan titik tolak kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh namun ia dibuat secara salah dan cuai.

“Jika ada petrol, sudah tentu dua anjing unit K-9 unit telah menghidunya, Jabatan Kimia juga akan menemuinya dalam beberapa sampel yang telah dihantar dan lima doktor di Hospital Kuala Lumpur akan mencium baunya semasa melakukan bedah siasat pada hari sama.

“SP46 berulang kali memberi keterangan bahawa hanya insiden letupan boleh menjelaskan semua kecederaan yang dialami. Ahli patologi kedua Dr Prashant Naresh Samberkar (SP50) hanya boleh memberikan penjelasan mengenai beberapa kecederaan di mayat yang sudah reput dan keterangan beliau sarat dengan dapatan tidak logik serta berat sebelah,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhan, teori pendakwaan adalah tidak masuk akal.

“Mereka kata tertuduh ingin menghapuskan bukti namun mayat mangsa tidak ditemui di atas tilam yang terbakar. Tidak masuk akal untuk membiarkan mayat di atas lantai jika anda ingin memusnahkan bukti, sepatutnya bakar mayat itu di atas tilam.

“Pendakwaan juga berkata terdapat banyak darah di atas tilam, itu sebab tilam dibakar. Bagaimanapun tiada bukti lansgung bahawa terdapat darah di atas tilam,” katanya.

Pendakwaan akan mengemukakan hujahnya hari ini.