- Iklan -
Berita

Kejayaan PICK pastikan 98% kes Covid bergejala ringan, kata Khairy

Hampir 98% kes aktif Covid-19 hanya perlu berisolasi di rumah tanpa rujukan ke hospital.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memastikan kebanyakan pesakit Covid-19 mengalami gejala ringan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata dalam fasa peralihan ke endemik kini, hampir 98% kes aktif Covid-19 hanya perlu berisolasi di rumah tanpa rujukan ke hospital.

“Sebanyak 97.6% pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah, 0.2% di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19, 2% di hospital, 0.1% di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat pernafasan dan 0.1% di ICU dengan alat pernafasan,” katanya menerusi catatan di Twitter.

Menurut Khairy, pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 Secara Maya (VCAC) dibuat menerusi aplikasi MySejahtera iaitu pesakit perlu mengisi borang Penilaian Kendiri atau Health Assesment Tool (HAT) dua kali sehari tentang gejala mereka.

Lebih 70% kes Covid-19 di rumah mengisi HAT setiap hari dan data ini digunakan untuk mengenal pasti kes yang merosot dan perlu dirujuk ke hospital, katanya.

Beliau berkata sekiranya data HAT pesakit Covid-19 menunjukkan kemerosotan ketara, notifikasi akan dihantar bagi memberi pilihan kepada pesakit untuk datang ke fasiliti kesihatan.

Malaysia mencatatkan 11,994 kes positif Covid-19 semalam dengan 11,904 kes atau 99.25% dalam kategori satu dan dua atau bergejala ringan manakala 90 kes atau 0.75% dalam kategori tiga, empat dan lima.