- Iklan -
Berita

Ismail nafi pernah rayu parti politik untuk kekal jadi PM

Menurut Ismail, reputasinya sebagai ahli Umno dan perdana menteri telah tercemar akibat penerbitan sebuah artikel laman sesawang berhubung dirinya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak pernah merayu kepada mana-mana parti politik untuk mengekalkan sokongan mereka terhadapnya supaya terus menjadi perdana menteri.

Perkara itu dinyatakan Ismail, 62, selaku plaintif bagi menjawab pembelaan yang difailkan oleh pemilik Agenda Daily Media Enterprise Muhamad Izwan Mohd Zubit, yang disaman berhubung penerbitan artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang didakwa memfitnah perdana menteri itu.

Ismail mendakwa beliau percaya bahawa Izwan tidak hadir pada ceramah yang diadakan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada 29 Januari lepas.

“Dalam ceramah itu, saya telah memberi ucapan yang dirujuk oleh berita-berita yang diterbit oleh surat khabar tempatan. Pada masa material sebelum penerbitan artikel itu, defendan tidak menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan berkenaan dengan ucapan di konvensyen berkenaan.

“Sebaliknya, defendan telah secara melulu merujuk kepada artikel-artikel yang diterbit oleh surat khabar tempatan semasa menerbitkan artikel itu yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap saya,” kata Ismail di dalam jawapan kepada pembelaan itu yang difailkan pada 6 April.

Ismail turut mendakwa artikel berkenaan secara keseluruhan memfitnahnya selain mendakwa ia membawa maksud bahawa beliau tidak jujur, licik dan mementingkan diri sendiri serta terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan menggunakan apa cara sekali pun.

Dakwa plaintif, defendan (Izwan) telah gagal menjalankan “kewartawanan bertanggungjawab” ketika menerbitkan artikel itu.

Ismail mendakwa semasa menulis artikel itu, defendan dipengaruhi atau didorong oleh niat jahat kerana pada masa itu, defendan tahu bahawa Pilihan Raya Negeri Johor akan diadakan pada 12 Mac dan matlamat defendan adalah untuk memperkecilkan dan menjejaskan reputasi plaintif sebagai seorang ahli Umno dan perdana menteri.

“Alasan yang digunakan oleh defendan untuk kononnya menunjukkan ‘kewartawanan bertanggungjawab’ adalah sama sekali tidak berasas dan tidak boleh dipertahankan,” dakwa perdana menteri.

Pada 4 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.

Pada 18 Februari, Ismail memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan, dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Januari lepas, Agenda Daily Media menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa, beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli Umno dan sebagai perdana menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

Ismail memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif.

Sementara itu, Izwan, 37, dalam pernyataan pembelaannya mendakwa beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail.

Izwan turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif.