- Iklan -
Berita

Bekas pengarah 1MDB tidak letak jawatan kerana yakin dengan kepimpinan Najib

Ismee Ismail berkata beliau berpandangan bahawa usaha sama antara 1MDB dan Arab Saudi akan mendatangkan manfaat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Seorang saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata beliau tidak meletakkan jawatan dari syarikat itu, kerana yakin dengan kepimpinan bekas perdana menteri Najib Razak dalam 1MDB, disebabkan urus niaga dana kekayaan negara dengan Arab Saudi.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Ismee Ismail, 58, yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Haji (TH) dari 2006 hingga 2016 berkata beliau berpandangan bahawa usaha sama antara syarikat itu dan Arab Saudi akan mendatangkan manfaat.

Perkara ini terjadi, meskipun terdapat ketidakpatuhan pengurusan 1MDB membabitkan usaha sama antara syarikat itu dengan syarikat pengeluaran minyak dan gas yang berpangkalan di Arab Saudi Petrosaudi Internaional Ltd pada September 2009, yang telah membangkitkan kemarahan bekas pengerusi 1MBD Mohd Bakke Salleh.

Ketika pemeriksaan semula timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram telah merujuk kepada saksi minit mesyuarat pada 26 September 2009, di mana lembaga pengarah telah memberikan beberapa ketetapan mengenai kerja sama itu, namun tidak dipatuhi oleh pihak pengurusan.

Bakke meletakkan jawatannya tidak lama selepas itu iaitu 19 Oktober 2009.

Tambah Ismee ketika beliau baru menyertai 1MDB pada 2009, beliau berpandangan bahawa ia sesuatu transaksi yang baik untuk syarikat dalam kapasitinya sebagai CEO Tahun Haji, ia suatu inisiatif yang baik bagi meningkatkan lagi hubungan dengan Arab Saudi.

“Pada masa itu saya mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi dalam kepimpinan, pada PM (Najib) sendiri, kepercayaan dan kesetiaan, jadi sebab itu saya tidak lakukan ‘tindakan Bakke’”, kata Ismee.

Saksi pendakwaan ke-13 itu merujuk kepada tindakan Bakke yang meninggalkan syarikat pada 2009.

Sementara itu, seorang lagi saksi bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Hariharan Tara Singh bahawa kesetiaan beliau bukan untuk 1MDB ataupun anak syarikatnya, tetapi kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi ke-12 pendakwaan itu, telah disoal mengenai AS$1.58 bilion yang telah dipindahkan keluar dari 1MDB Global Investments Ltd (1MDB GIL) seperti diarahkan oleh Jho Low.

Hariharan: Adakah anda setuju dengan saya, kesetiaan sepatutnya kepada 1MDB, 1MDB GIL dan bukannya orang luar (Jho Low)?

Azmi: Saya percaya beliau (Jho Low) mewakili pemegang saham (Najib).

Mahkamah diberitahu bahawa AS$1.58 bilion telah digunakan untuk pelaburan luar yang tidak dijelaskan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 April.