- Iklan -
Berita

58,780 kanak-kanak lengkap divaksin, 67.6% dewasa terima dos penggalak

38.2% populasi kanak-kanak itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak tenang ketika menerima vaksinasi di bawah PICKids di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Seorang kanak-kanak tenang ketika menerima vaksinasi di bawah PICKids di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Sebanyak 58,780 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, 1,354,514 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.2% daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,856,360 individu atau 91.8% telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,956,063 atau 95% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, seramai 15,899,713 individu dewasa atau 67.6% telah menerima suntikan dos penggalak, 22,955,772 atau 97.6% pula selesai menerima dua dos manakala 23,232,836 atau 98.8% mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sebanyak 29,734 dos vaksin diberikan semalam merangkumi 15,374 dos kedua, 10,639 dos penggalak dan 3,721 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,101,615.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 36 kematian direkodkan akibat Covid-19 di negara ini semalam dengan Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu sembilan kes, diikuti Sarawak dan Perak masing-masing lima kes, Pulau Pinang dan Johor masing-masing empat kes.

Terdapat dua kes kematian masing-masing di Putrajaya dan Terengganu, manakala satu kes direkodkan setiap satu di Kuala Lumpur, Sabah, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.