- Iklan -
Berita

Syarikat luar pesisir berkait penyelewengan 1MDB kini digunakan untuk kesan wang curi, kata laporan

Dalam pemfailan muflis tersebut syarikat luar pesisir itu berkata mereka percaya sebanyak AS$1.15 bilion wang dicuri dari SRC International tidak dapat dikesan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB merupakan subjek siasatan Jabatan Kehakiman AS sejak 2016 bagi mendapatkan semula berbilion dolar AS yang diselewengkan daripada dana kerajaan Malaysia itu. Gambar: AFP
Skandal 1MDB merupakan subjek siasatan Jabatan Kehakiman AS sejak 2016 bagi mendapatkan semula berbilion dolar AS yang diselewengkan daripada dana kerajaan Malaysia itu. Gambar: AFP

Beberapa syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kini digunakan semula untuk mengesan dan mendapatkan semula wang curi berkenaan, lapor Bloomberg.

Menurut laporan itu, tiga daripada syarikat itu berpangkalan di Kepulauan British Virgin berkata dalam pemfailan muflis di Amerika Syarikat (AS) bahawa mereka adalah “sebahagian daripada penipuan yang dijalankan terhadap 1MDB”.

Laporan itu turut berkata sebahagian syarikat itu mungkin ditubuhkan bagi satu tujuan sahaja; menerima transaksi wang yang dicuri atau memindahkan wang tersebut ke entiti lain.

Tiga syarikat tersebut memfailkan kemuflisan di bawah undang-undang AS, membenarkan penghutang luar negara untuk membawa prosiding itu ke negara itu, katanya.

Ia juga berkata matlamat mereka adalah untuk mendapatkan semula sekitar AS$8.5 bilion yang dipercayai dicuri dari 1MDB, “di mana sebahagiannya berada di AS”.

Skandal 1MDB menjadi tajuk utama antarabangsa apabila sekurang-kurangnya enam buah negara termasuk AS dan Switzerland yang melancarkan siasatan ke atas dana kerajaan Malaysia itu.

Di AS, juri kini sedang memulakan penelitian terhadap perbicaraan bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng yang dituduh membantu bekas bosnya, Tim Leissner menyelewengkan wang dari 1MDB, selain mengubah wang bagi merasuah pegawai kerajaan dan mendapatkan urus niaga bagi pihak bank pelaburan itu.

Menurut laporan Bloomberg, syarikat luar pesisir itu kini dipantau pengurusan yang dilantik Putrajaya.

Pemfailan kemuflisan yang dikenali sebagai pemfailan Chapter 15, adalah bagi membantu pengurusan yang dilantik bagi mengumpul maklumat dari mereka yang terlibat dalam skandal tersebut dan menyita sebarang aset yang boleh dikenal pasti, tambah laporan tersebut.

Ia juga turut memetik syarikat itu yang mengatakan mereka percaya sebanyak AS$1.15 bilion dicuri dari SRC International “tidak dapat dikesan”.

“Masih ada syarikat dan kumpulan amanah yang masih tidak dapat dikenal pasti berkait penyelewengan ini,” kata peguam mereka dalam kertas yang diserahkan kepada mahkamah.