- Iklan -
Berita

SPRM reman penolong juruukur bahan 7 hari

Suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan kelulusan permohonan pelan ubah suai rumah tanpa melalui prosedur sah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suspek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Suspek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Seorang penolong juruukur bahan kerajaan tempatan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah sebanyak RM3,000.

Perintah reman sehingga 13 April 2022 itu diputuskan majistret Intan Syafinaz Ros’lin di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan tersebut pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek dipercayai menerima wang rasuah sebanyak RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan permohonan pelan ubah suai rumah tanpa melalui prosedur yang sah daripada kerajaan tempatan pada Ogos 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.