- Iklan -
Berita

Lebih 44,300 kanak-kanak lengkap divaksinasi, 67.5% dewasa terima dos penggalak

Sementara itu, 91.8% populasi remaja juga telah lengkap divaksinasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu sedang merakam gambar kenang-kenangan dua anaknya selepas  menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Seorang ibu sedang merakam gambar kenang-kenangan dua anaknya selepas menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Seramai 44,376 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sebanyak 1,353,370 atau 38.1% daripada populasi kanak-kanak dari kumpulan umur sama telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,855,208 individu atau 91.8% telah lengkap divaksinasi dan 2,953,452 individu atau 95% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, bagi populasi dewasa, seramai 15,888,368 individu atau 67.5% telah menerima dos penggalak, 22,955,102 individu atau 97.6% lengkap vaksinasi dan 23,232,340 atau 98.8% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 25,487 dos vaksin diberikan semalam, melibatkan 2,631 dos pertama, 11,755 dos kedua dan 11,101 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,069,817.

Dalam pada itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 32 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini semalam dengan Johor dan Selangor masing-masing merekodkan jumlah tertinggi sebanyak tujuh kematian.

Ia diikuti Perak dengan lima kes, Terengganu (empat) selain Kedah dan Melaka, masing-masing merekodkan tiga kes.

Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis pula masing-masing mencatatkan satu kes kematian akibat Covid-19.