- Iklan -
Berita

25 laporan kesan sampingan vaksin tiada kaitan kematian dengan dos penggalak

31 lagi laporan kesan sampingan vaksin masih dalam proses penyiasatan sebelum dibentang untuk penilaian JFK.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang kakitangan Hospital KPJ Tawakkal KL menerima vaksin Pfizer Bio-NTech dos penggalak di PPV KPJ Tawakkal, Jalan Pahang.
Seorang kakitangan Hospital KPJ Tawakkal KL menerima vaksin Pfizer Bio-NTech dos penggalak di PPV KPJ Tawakkal, Jalan Pahang.

Penilaian Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK) terhadap 25 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak mendapati kes kematian tersebut tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani berkata 25 laporan itu adalah dari 56 laporan AEFI melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak yang diterima NPRA bagi dilakukan penyiasatan dan penilaian.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini mengenai status AEFI vaksin Covid-19 hingga 1 April berkata 31 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum dibentang untuk penilaian oleh JFK.

Roshayati berkata sebanyak 131 kes atau 8.6% dari 1,526 laporan AEFI bagi dos penggalak vaksin Covid-19 yang dilaporkan hingga 1 April diklasifikasikan sebagai serius.

Pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober tahun lepas dan setakat 1 April, sejumlah 15,813,417 dari 68,924,040 dos vaksin Covid-19 yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), adalah dos penggalak.

Mengenai laporan AEFI secara keseluruhan, Roshayati berkata sejumlah 26,005 laporan AEFI vaksin Covid-19 dinilai termasuk 1,526 laporan melibatkan penerima dos penggalak dan 264 laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Menurutnya, 93% atau 24,182 daripada AEFI yang dilaporkan adalah bagi kes yang tidak serius dan kesan advers yang paling kerap dilaporkan adalah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan yang biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari.

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan laporan AEFI yang diterima, terdapat 1,823 laporan yang dikategorikan sebagai AEFI serius berdasarkan klasifikasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia merujuk kepada kesan yang menyebabkan kemasukan ke dalam wad atau pemanjangan tempoh di wad, membahayakan nyawa, menyebabkan kehilangan upaya yang signifikan atau memerlukan intervensi untuk mencegah kerosakan kekal tubuh, menyebabkan kecacatan semasa lahir atau disyaki menyebabkan kematian.

Beliau berkata jumlah laporan AEFI serius yang diterima itu termasuk 609 laporan yang melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

“Sebanyak 460 laporan telah selesai penyiasatan dan penilaian oleh JFK iaitu tiada kes kematian dilaporkan mempunyai hubung kait secara langsung dengan vaksin yang diterima manakala 149 laporan masih dalam proses penyiasatan sebelum dinilai oleh JFK,” katanya.

Mengenai laporan AEFI dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, Roshayati berkata setakat ini sejumlah 264 laporan AEFI telah dilaporkan melibatkan golongan tersebut.

Daripada 264 laporan AEFI yang dilaporkan bagi golongan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun itu, 15 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius dan majoritinya adalah kesan tidak serius.