Sunday, May 15, 2022

SPRM siasat isu penjualan tanah lapangan terbang di Perak

Siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Adun Manjoi Asmuni Awi semalam.

Other News

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak Mohd Fauzi Mohamad berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi Asmuni Awi semalam.

“Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.

Semalam, empat bekas exco kerajaan Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri atau lembaga pengarah PKNP ketika itu.

Khamis lepas, Menteri Besar Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, Adun Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan DUN Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles