- Iklan -
Berita

Pengurusan 1MDB jemput Jho Low mesyuarat sulit pada 2009, kata bekas pengarah

Ismee bersetuju tiada persoalan dibangkitkan atau yang mempersoalkan bagaimana Jho Low dijemput dan bagi tujuan apa.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dijemput oleh pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menghadiri mesyuarat lembaga pengarah khas syarikat yang diadakan pada 26 September, 2009.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Ismee Ismail, 58, berkata bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau Casey Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif 1MDB) mungkin telah menjemput Jho Low menghadiri mesyuarat sulit tersebut.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib Razak, yang menghadapi pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mohd Bakke Salleh itu turut dihadiri Che Lodin Wok Kamaruddin, Shahrol Azral, Azlan Zainol, Casey Tang dan saksi itu sendiri.

Ismee yang dirujuk dengan minit mesyuarat tersebut, bersetuju bahawa tiada persoalan dibangkitkan atau yang mempersoalkan bagaimana Jho Low dijemput dan atas apa tujuan.

“Saya ingat sebelum mesyuarat bermula, kami ada bercakap mengenainya, dan dari perspektif saya kehadiran beliau pada masa itu adalah untuk menjelaskan kepada lembaga pengarah mengenai cadangan usaha sama (JV) dengan PetroSaudi International Ltd (PSI),” katanya.

Shafee: Jho Low nampaknya tidak mengeluarkan sepatah kata pun sepanjang mesyuarat itu, kerana jika tidak penjelasannya akan direkodkan dalam minit ini.

Ismee menjawab: “Ya”.

Ketika ditanya mengenai perjanjian usaha sama AS$1 bilion dengan PSI, Ismee berkata beliau diberi “tanggapan” bahawa bekas perdana menteri itu mahu lembaga pengarah meneruskan JV tersebut.

Beliau berkata Bakke, bekas pengerusi 1MDB telah memberitahu pengarah-pengarah bahawa beliau telah bercakap dengan Najib melalui telefon sebelum mesyuarat 26 September 2009.

“Apa yang saya boleh ingat adalah Bakke memberitahu kami bahawa ‘PM mahu kami melakukan perkara ini (usaha sama PSI)’,” katanya.

Shafee kemudian menyoal Ismee sama ada Bakke telah menyebut perkataan seperti “Jangan ambil masa terlalu lama melihat transaksi sebelum ini”.

Ismee berkata Bakke tidak memberitahu butiran panggilan telefonnya dengan Najib.

“Pada asasnya, Bakke berkata lembaga pengarah perlu membuat keputusan (mengenai PSI),” katanya.

Minggu lepas, dalam perbicaraan melibatkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB yang dihadapi Najib, Bakke memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya melalui telefon supaya tidak mengambil terlalu banyak masa melihat urus niaga lepas dan hanya memberi tumpuan kepada cadangan JV antara 1MDB dan PSI.

Semasa prosiding hari ini, Shafee mencadangkan bahawa apa yang diberitahu oleh Bakke kepada Ismee dan yang lain di dalam bilik mesyuarat itu adalah “bukan apa yang diberitahu oleh perdana menteri ketika itu kepadanya (Bakke).

“Beliau (Bakke) mungkin mahu menarik perhatian lembaga pengarah,” kata peguam itu.

Ismee berkata hanya Bakke yang boleh memberi keterangan mengenai perbualan telefonnya dengan Najib.

Sementara itu, seorang lagi saksi, bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir berkata beliau tidak pernah mengesahkan arahan yang diterima daripada bekas Ketua setiausaha sulit Najib iaitu Azlin Alias, yang dikatakan datang terus daripada Najib sendiri.

Peguam Hariharan Tara Singh merujuk Azmi kepada sebahagian kenyataan saksinya yang menyatakan beliau berjanji untuk melaksanakan dan menandatangani beberapa dokumen berkaitan usaha sama antara bank BSI dan 1MDB Global Investments Ltd (1MDB GIL) pada Mac 2013.

Bagaimanapun, Azmi berkata kebanyakan arahan Azlin hanya secara lisan atau mesej teks dan ia tidak pernah ditulis dalam dokumen yang betul.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Hariharan bahawa beliau tidak pernah mengesahkan arahan itu dengan Najib kerana menganggap apa sahaja yang datang daripada Azlin adalah arahan Najib.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.