- Iklan -
Berita

Malaysia dijangka catat pertumbuhan ekonomi 6% tahun ini

Penolong Naib Presiden Moody's Investors Nishad Majmudar berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa akan memacu sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan pencakar langit di ibu negara, Kuala Lumpur.
Bangunan pencakar langit di ibu negara, Kuala Lumpur.

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 6% tahun ini selepas didorong oleh pembukaan sempadan antarabangsa, peningkatan kadar vaksinasi dan peralihan negara ke arah fasa endemik.

Penolong Naib Presiden Moody’s Investors Nishad Majmudar berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa akan memacu sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan.

“(Berhubung dengan peralihan ke dalam fasa endemik), kami menjangkakan bahawa ia akan menyokong aktiviti ekonomi yang lebih besar termasuk perbelanjaan swasta di negara ini. Satu lagi faktor ialah kami meramalkan pertumbuhan yang lebih lemah dalam pasaran eksport utama seperti Kesatuan Eropah, yang menyumbang kira-kira 10% daripada eksport.

“Bagaimanapun, Malaysia yang memiliki kemampuan eksport yang pelbagai seperti elektronik termasuk minyak dan gas akan berada dalam kitaran yang cukup mantap, tambahan pula, harga barangan ini sedang meningkat,” katanya kepada pemberita semasa sidang meja bulat maya Moody’s yang bertajuk “Inside Asean:Malaysia” hari ini.

Beliau menjelaskan bagaimanapun terdapat beberapa risiko penurunan seperti konflik Ukraine-Rusia serta potensi lonjakan inflasi yang akan menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan respons yang lebih cepat berkaitan normalisasi kadar dasar.

“Konflik Ukraine-Rusia adalah risiko penurunan terbesar untuk pertumbuhan. Malah, kami mengunjurkan beberapa ekonomi G20 di Eropah dan Asia Pasifik akan mengalami kejatuhan,” kata Nishad, sambil menambah BNM dijangka akan menaikkan kadar asasnya pada separuh pertama 2022.

Satu lagi pusingan penutupan sempadan selepas timbul ancaman varian baru akan menjadi antara risiko yang berpotensi tetapi kerajaan Malaysia telah nekad untuk memastikan ekonomi terbuka dan merawat Covid-19 sebagai endemik.

Selain itu, persekitaran politik yang tidak menentu akan menjejaskan kredibiliti serta keberkesanan institusi di Malaysia selain mengancam kestabilan aliran modal dan pelaburan, yang boleh menjadi risiko penurunan yang lain bagi Malaysia, katanya.

“Dalam penilaian kami sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa riuh-rendah politik yang kami dengar, dalam pandangan kami, tidak mempengaruhi fungsi institusi ekonomi utama seperti kementerian kewangan, Bank Negara dan pengawal selia sekuriti.