- Iklan -
Berita

Lebih 33,600 kanak-kanak lengkap vaksinasi, 67.5% dewasa terima dos penggalak

38.1% populasi kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan dari Megaklinik Zahran memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 11 tahun di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Petugas kesihatan dari Megaklinik Zahran memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak pada Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) 5 hingga 11 tahun di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Sebanyak 33,621 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, sejumlah 1,353,774 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.1% daripada populasi berkenaan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara bagi populasi dewasa, seramai 15,876,357 individu atau 67.5% telah menerima dos penggalak, manakala 22,954,326 individu atau 97.6% telah lengkap vaskinasi, dan 23,231,749 atau 98.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun, seramai 2,854,230 individu atau 91.7% telah  lengkap divaksinasi dan 2,950,267 individu atau 94.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 22,807 dos vaksin telah diberikan semalam, melibatkan 2,501 dos pertama, 8,670 dos kedua dan 11,636 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 69,042,067.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 33 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di negara ini semalam dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu lapan kematian.

Ini diikuti Perak dengan enam kes, Kedah (empat) dan tiga kematian di Sarawak.

Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis masing-masing merekodkan dua kes manakala Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing, satu kes kematian.