- Iklan -
Berita

Khairy alu-alukan kajian akademik berhubung ganja untuk perubatan

Menteri kesihatan itu berkata tiada kajian klinikal yang diterima kementeriannya walaupun perbincangan mengenainya banyak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengalu-alukan kajian industri dan akademik berhubung penggunaan ganja perubatan, mengatakan kementerian kesihatan sentiasa konsisten dalam mengamalkan polisi berdasarkan bukti.

“Setakat ini, tiada penyerahan penuh kajian dan percubaan klinikal (berhubung perkara itu),” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.

“Yang banyak adalah luahan minat, perbincangan, ceramah dan advokasi di media sosial.”

Beliau menambah kementerian kesihatan sentiasa mengalu-alukan kajian klinikal penggunaan CBD atau cannabidiol bagi tujuan perubatan, mengatakan usaha ke arah itu boleh dijalankan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Penyelidikan Klinikal (IRC).

“Kami sedia bekerjasama,” katanya.

Penggunaan ganja untuk perubatan ketika ini berada di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta 234.

Antara pemimpin lantang dalam isu penggunaan ganja bagi tujuan perubatan adalah Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman yang menggesa kerajaan mempertimbangkan supaya undang-undang membenarkan penggunaannya diusahakan.