Wednesday, May 18, 2022

Selepas tunjuk perasaan, tukang cuci Sabak Bernam hanya terima gaji dipotong

Mereka mempersoalkan 11% potongan terhadap bayaran tunggakan gaji.

Other News

Seminggu lalu, 53 tukang cuci kontrak dari Sabak Bernam mengadakan tunjuk perasaan secara aman di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, menuntut tunggakan gaji yang sudah mencecah empat bulan.

Mereka kemudiannya menerima kenyataan bertulis daripada kementerian pendidikan yang berjanji tunggakan gaji mereka akan dibayar pada 1 April.

Hari ini, NGO Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang memperjuangkan hak pekerja berkata kesemua 53 tukang cuci tersebut sudah menerima tunggakan gaji mereka.

Namun bagi sebahagian mereka, isu itu masih belum berakhir.

Salah seorang tukang cuci tersebut adalah Kak Zahirah.

Dia mengesahkan tunggakan gajinya dibayar, namun syarikat kontraktornya turut mengambil bahagian wang tersebut dengan membuat potongan besar terhadap gajinya.

“Mereka potong 11% daripada gaji saya – RM166 – dan tolak jumlah gaji selama tujuh hari yang saya gunakan untuk cuti,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Untuk itu, jumlah potongan lagi RM259.”

Akibat pemotongan itu, Zahirah hanya menerima RM548 daripada keseluruhan gajinya.

Berhubung perkara itu, JPKK berkata ia menerima aduan yang sama daripada pekerja pembersihan lain.

Potongan gaji kerana mengambil cuti adalah satu perkara yang mengecewakan bagi pekerja namun ia adalah perkara biasa bagi tukang cuci kontrak, di mana mereka dianggap tidak layak mendapat cuti tahunan atau cuti perubatan.

Potongan gaji turut dibuat jika tidak datang bekerja, walaupun ketika mereka perlu menjalani kuarantin kendiri Covid-19.

Namun, persoalan yang lebih besar bagi pekerja pembersihan Sabak Bernam ini adalah berhubung pemotongan penalti sebanyak 11% terhadap gaji mereka.

Seorang lagi pekerja, Kak Yati berkata baki gajinya hanya tinggal sebanyak RM466 selepas potongan dan penalti – di mana jumlah itu tidak mencukupi untuk dia menyara keluarga.

Percubaan MalaysiaNow untuk menghubungi kontraktor bagi mendapatkan maklum balas masih tidak berjaya walaupun jurucakap bagi semua syarikat kontraktor berkata semua tunggakan gaji pekerja sudah dibayar.

“Gaji mereka semua sudah diberikan,” katanya dalam jawapan ringkas kepada MalaysiaNow.

Walaupun gaji sudah telah dibayar, pekerja kontrak pembersihan di Sabak Bernam masih belum menerima bahagian caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Sosco.

JPKK berkata pihaknya akan memfailkan aduan di jabatan buruh dan matlamat utamanya ketika ini masih kekal untuk memastikan perkhidmatan kontraktor ditamatkan dan disenarai hitam daripada mengambil mana-mana pekerja baru.

Usaha MalaysiaNow untuk menghubungi jabatan buruh dan kementerian sumber manusia mengenai bantahan pekerja juga tidak berjaya.

Bagaimanapun, kementerian pendidikan berkata pihaknya akan menyiasat syarikat-syarikat tersebut dan menamatkan kontrak mereka jika aduan pekerja didapati benar.

Tanpa tindakan kerajaan, pekerja kontrak pembersihan seperti Yati dan Zahirah berkemungkinan akan terus bekerja dengan gaji tidak tetap.

Ketika ini, mereka berharap kerajaan dapat membantu selain turut berdoa supaya dibayar setiap bulan dan diberi jumlah gaji penuh.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles