- Iklan -
Berita

Mahkamah benar pendakwaan fail hujahan tambahan kes rasuah Rosmah

Pihak pendakwaan perlu memfailkan hujahan tambahan pada 22 April dan 12 Mei bagi menjawab hujahan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memfailkan hujahan tambahan dalam kes Rosmah Mansor, yang berdepan pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas prosiding kes tersebut yang berlangsung di dalam kamar hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini, yang turut dihadiri peguam Akberdin Abdul Kader, mewakili Rosmah.

Poh berkata pihaknya perlu memfailkan hujahan tambahan pada 22 April dan 12 Mei untuk pembelaan menjawab hujahan itu.

“12 Mei juga ditetapkan untuk sebutan kes,” katanya.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Rosmah, 70, yang memakai baju kurung merah dan selendang sepadan hadir di mahkamah hari ini.

Pada 23 Februari lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas pengarah bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 18 Februari tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khas beliau Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bersepadu sistem solar photovoltaic hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada kementerian pendidikan.