- Iklan -
Berita

38% kanak-kanak divaksinasi, 67.4% dewasa terima dos penggalak

Lebih 22,000 kanak-kanak sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu bapa menemani anak yang telah menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Ibu bapa menemani anak yang telah menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid19 Kanak-Kanak di PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Sebanyak 22,476 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telah menerima lengkap dua dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, sejumlah 1,351,441 kanak-kanak daripada kumpulan umur yang sama atau 38% daripada populasi itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, 15,862,983 individu dewasa atau 67.4% daripada populasi itu di negara ini telah menerima dos penggalak, 22,955,496 individu atau 97.6% telah lengkap vaksinasi, manakala 23,231,190 atau 98.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 dan 17 tahun, sejumlah 2,854,727 individu atau 91.8% daripada kumpulan itu telah lengkap divaksinasi, manakala 2,949,995 individu atau 94.9% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 22,081 dos vaksin telah diberikan semalam, melibatkan 2,630 dos pertama, 8,155 dos kedua dan 11,296 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 69,016,063 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 28 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak dan Selangor merekodkan kematian tertinggi iaitu masing-masing enam kes diikuti Johor (lima), Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Pahang (dua) manakala Kedah dan Sarawak masing-masing satu kematian.