- Iklan -
Berita

Warga Palestin, polis Israel bertempur di Baitulmaqdis

11 cedera manakala 10 lagi ditahan dalam pertempuran tersebut.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Satu suar rusuhan meletup di luar Pintu Damsyik Baitulmaqdis semasa pertempuran antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel pada 3 April. Gambar: AFP
Satu suar rusuhan meletup di luar Pintu Damsyik Baitulmaqdis semasa pertempuran antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel pada 3 April. Gambar: AFP

Warga Palestin bertempur dengan polis Israel di timur Baitulmaqdis pada Ahad menyebabkan 11 cedera manakala 10 lagi ditahan, kata polis dan sumber perubatan.

Seorang jurugambar AFP berkata objek dilemparkan ke arah pegawai polis dan ia kemudiannya dibalas dengan tembakan gas pemedih mata di hadapan Pintu Damsyik, ketika rakyat Palestin berkumpul untuk menunaikan solat tarawih pada malam kedua Ramadan.

Polis Israel berkata mereka menahan 10 orang kerana “merusuh dan menyerang pegawai polis,” sambil menambah seorang anggota polis cedera terkenal botol yang dibaling ke arahnya.

Pada petang Ahad, Menteri Luar Israel Yair Lapid melawat tapak itu dan bertemu dengan pasukan polis yang mengawalnya.

“Ini adalah tempoh tegang, tetapi kita ada pasukan polis yang boleh dipercayai untuk kami hadapinya, saya bangga dengan kemampuan pegawai kita,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sebelumnya, Perdana Menteri Naftali Bennett bertemu dengan ketua badan keselamatan dalaman negeri Shin Bet dan komander tentera di Tebing Barat susulan operasi Israel berhampiran Jenin di mana tiga militan Palestin terbunuh dalam pertempuran senjata dengan pasukan khas Israel.

Seramai 11 orang terbunuh dalam serangan di Israel sejak 22 Mac, termasuk beberapa serangan dilakukan oleh penyerang dikaitkan dengan kumpulan Daesh.

Dalam tempoh yang sama, lapan rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk dua penyerang dalam serangan anti Israel dan enam orang yang didakwa Israel telah melakukan serangan atau akan melakukannya.

Tahun lalu semasa Ramadan, pertempuran berlaku antara Israel dan rakyat Palestin yang melawat perkarangan Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan konflik berlarutan sehingga 11 hari antara Israel dan kumpulan Hamas di Gaza.