- Iklan -
Berita

Bos baru DAP beri isyarat ‘perubahan struktur’ dalam PH pada PRU depan

Anthony Loke gesa pimpinan PH mengalihkan tumpuan daripada persoalan siapa calon perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang sukarelawan Pakatan Harapan mengibarkan bendera gabungan itu pada PRN Melaka tahun lalu.
Seorang sukarelawan Pakatan Harapan mengibarkan bendera gabungan itu pada PRN Melaka tahun lalu.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke membayangkan perubahan bakal berlaku dalam pendekatan Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk kemungkinan berhenti daripada mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Strategi mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri digunakan pembangkang sejak dua dekad lalu, dalam kenyataan yang menunjukkan pakatan itu sedang bergelut untuk kekal relevan selepas kebangkitan dan kejatuhannya selepas PRU14.

Loke turut menegaskan parti-parti dalam PH perlu bersetuju mengenai penggunaan logo gabungan itu, beberapa minggu selepas Anwar yang juga presiden PKR memutuskan partinya tidak menggunakan logo PH ketika bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu.

“Jika kita tidak dapat penuhi syarat ini, maka struktur PH sudah pasti perlu diubah,” kata Loke yang mengambil alih kepimpinan utama DAP daripada Lim Guan Eng dua minggu lalu bagi menerajui parti paling berpengaruh dalam PH kepada akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew.

“Saya rasa Anwar sangat faham perkara ini,” tambahnya.

“Anda sedang hadapi PRU. Sebagai pemimpin PH, anda tidak boleh gunakan logo (parti) anda sendiri.”

PKR bertanding dalam PRN Johor baru-baru ini menggunakan logo sendiri sementara parti komponen lain iaitu DAP dan Amanah menggunakan logo PH yang dirasmikan selepas kemenangan pada gabungan itu pada 2018.

Langkah tersebut diambil berikutan prestasi hambar PKR pada PRN Melaka dan Sarawak.

Keputusan PKR untuk bertanding menggunakan logonya sendiri mencetuskan persoalan mengenai perpaduan dan kestabilan dalam gabungan itu di mana DAP dan Amanah mengatakan sekutu politik dan rakan dalam gabungan itu perlu “duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah”.

“Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama,” kata parti itu.

Loke berkata jika PH tidak mampu berunding dan membuat keputusan mengenai penggunaan logo bersama, struktur gabungan tersebut “sudah pasti perlu diubah”.

“Jika itu berlaku, hubungan (antara parti) juga akan berbeza,” katanya sambil menambah beliau masih mempunyai keyakinan terhadap Anwar.

“Kami berharap dapat selesaikan isu ini sebaik mungkin dan tunjukkan kesatuan barisan, di mana hala tuju dan misi kami sama.

“Bukan hanya pada dasar dan ideologi. Langkah kita mesti seiring, barulah kita boleh bina keyakinan pengundi terhadap kita.”

Calon PM

Loke berkata, strategi PH untuk PRU15 yang mesti diadakan menjelang Mei tahun depan, perlu beralih daripada persoalan yang menitikberatkan siapa yang bakal menjadi perdana menteri.

Loke berkata wujud “kekecewaan besar terhadap tokoh politik” dalam kalangan pengundi.

“Jika anda hanya cakap tentang siapa akan jadi perdana menteri, bagi pengundi, ahli politik hanya mahukan kuasa.”

Beliau berkata politik PH perlu berlandaskan agenda dan bukannya berteraskan tokoh pemimpin atau personaliti.

“Kita patut bincang apa agenda kita, perlu buat apa dengan kuasa, bukan hanya bercakap tentang siapa yang patut jadi PM.

“Persoalan siapa yang jadi PM akan diketahui apabila tiba masanya, dengan keputusan pilihan raya.”

Anwar menjadi calon perdana menteri bagi setiap gabungan pembangkang sejak PRU 1999, setahun selepas dipecat daripada kerajaan oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Loke berkata “setakat ini”, Anwar masih lagi calon perdana menteri gabungan itu.

“Tetapi saya katakan, perkara utama ialah bagaimana kita boleh menangi semula keyakinan rakyat.

“Jika kita memenangi keyakinan mereka dan kita menang majoriti kerusi di Parlimen, maka masalah siapa yang akan menjadi perdana menteri pasti dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” tambahnya.