Tuesday, May 17, 2022

Pelarian masih menantikan perubahan dasar berlaku di Malaysia

Tanpa perlindungan dasar daripada kerajaan, ramai yang masih menerima layanan bersifat xenofobia.

Other News

Pada 2012, Hasan Al-Akraa yang baru sahaja berusia 12 tahun turun menjejakkan kaki di Malaysia dari pesawat yang mendarat di KLIA di mana seluruh hidupnya ketika itu hanya bergantung dengan beberapa bagasi dibawanya.

Kini, selepas 10 tahun, Hasan merupakan seorang pelajar dan aktivis walaupun sedar dia memiliki sejarah sendiri sebagai seorang pelarian.

Dia dan pelarian lain sepertinya sudah menganggap negara ini sebagai rumah mereka.

Sejak sedekad lalu, dia telah melihat beberapa perubahan positif berhubung layanan terhadap pelarian.

Namun begitu, beliau tahu majoriti daripada golongan pelarian masih dianggap golongan bawahan – hal ini terjadi disebabkan dasar Malaysia sendiri berkait pelarian.

Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian atau UNHCR mengklasifikasikan pelarian sebagai mereka yang melarikan diri dari peperangan, keganasan, konflik atau penganiayaan dan melintasi sempadan antarabangsa untuk menyelamatkan diri di negara lain.

Bagaimanapun, di Malaysia, pelarian, pencari suaka dan pekerja asing – baik yang memiliki dokumen sah atau tidak – dikategorikan di bawah satu nama: warga asing atau “pendatang asing”.

Salah satu contoh ramai orang di negara ini melihat komuniti itu sedemikian rupa jelas kelihatan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 2020.

Sikap tersebut dapat dilihat apabila poster xenofobia diedarkan dalam kempen anti Rohingya di media sosial.

Ulasan bernada kesat dan jahat membanjiri media sosial di mana pelarian Rohingya diganggu, menerima ancaman rogol dan juga ugutan bunuh oleh mereka yang percaya golongan itu bertanggungjawab atas penularan Covid-19.

Dalam pada itu, pada Jun tahun lalu, jabatan imigresen turut dikecam kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International Malaysia berhubung poster yang memberi amaran kepada pelarian Rohingya supaya tidak datang ke Malaysia.

Poster yang kemudiannya dikeluarkan daripada platform Twitter jabatan itu memaparkan beberapa orang lelaki beruniform memegang senjata dengan beberapa pesawat tentera berterbangan di latar poster tersebut selain beberapa buah bot dipenuhi pendatang asing.

Kapsyennya berbunyi: “Migran etnik Rohingya, kedatangan anda tidak diundang”.

Menurut Davina Devarajan, pengasas bersama NGO Women for Refugees, ramai wanita yang bekerjasama dengan kumpulan itu terjejas akibat kempen anti Rohingya.

Dia turut menceritakan tentang tahap diskriminasi yang dihadapi dalam kalangan pelarian juga berbeza.

“Jika anda seorang Rohingya atau anda berkulit lebih gelap, anda mungkin hadapi lebih banyak cabaran sebagai pelarian di Malaysia,” katanya.

Pelarian dan pendatang asing juga sering berdepan serbuan oleh pihak berkuasa.

Mereka sering ditahan atau dihantar pulang ke negara asal mereka.

Hasan berkata, dia mengenali kanak-kanak yang dibesarkan di pusat tahanan, sambil menambah masih ramai pelarian berada di pusat tahanan sedemikian ketika ini.

“Pelarian masih dilihat dan dianggap sebagai ancaman kepada negara sedangkan apa yang mereka mahu hanyalah tempat tinggal sementara di mana hak mereka dihormati dan dipertahankan,” katanya.

Perkara ini terus dihadapi komuniti itu walaupun mereka sudah bertahun atau berdekad lamanya hidup bersama masyarakat setempat, tambahnya.

“Terdapat keluarga pelarian generasi ketiga dilahirkan di Malaysia,” katanya.

“Mereka fasih berbahasa Melayu, berhari raya, suka makan durian, tempoyak dan budu.”

Ketika ini, dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 175,000 pelarian berada di Malaysia.

Namun kerajaan masih belum meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggariskan hak asasi manusia bagi pelarian.

Ekoran itu, mereka tidak boleh mencari kerja, tidak mempunyai akses kepada pendidikan awam, dan terdedah kepada pengusiran dari negara ini.

“Krisis pelarian di Malaysia berlarutan sejak beberapa dekad lalu,” kata Hasan.

“Saya datang ke Malaysia ketika umur saya 12 tahun, pada 2012, dan 10 tahun kemudian dasar ini masih tidak berubah.

“Mengapa pelarian tidak boleh mendapat akses kepada hak asasi sedangkan kami juga adalah manusia?”

Baginya, ketiadaan dasar yang kukuh menjadi punca utama isu tersebut berlaku.

“Pelarian tidak boleh bergantung kepada NGO dan badan kebajikan selama-lamanya,” katanya.

“Perlu ada perubahan di peringkat dasar untuk melindungi pelarian dan hak asasi mereka.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles