- Iklan -
Berita

Miskin bandar menanti Ramadan dengan seribu kebimbangan

Ketika negara bersiap untuk menyambut bulan puasa dan Hari Raya, namun keluarga miskin bergelut dalam merancang hari esok.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Kak Nani yang merupakan ibu tunggal berbicara di ruang tamu penuh barang di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya.
Kak Nani yang merupakan ibu tunggal berbicara di ruang tamu penuh barang di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya.

Ramadan yang bakal bermula pada hujung minggu ini adalah bulan yang paling dinantikan umat Islam seluruh dunia, sebelum pandemik melanda dua tahun lalu, sambutan bulan ibadah itu penuh ceria dan meriah.

Di Malaysia, persiapan menyambut kehadiran bulan puasa amat meriah dengan banyak lokasi bazar Ramadan sudah mula dipenuhi dengan kanopi dan gerai-gerai makanan pelbagai juadah dan lauk pauk untuk dijual kepada para pembeli.

Di sebelah malam pula, ekspo jualan pula dipenuhi orang ramai untuk mencari segala macam keperluan sebagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Bagaimanapun, suasana begini tidak dirasai bagi segelintir pihak yang bergelut dengan kemiskinan.

Terutama sekali yang berada di bandar yang menganggap kehadiran Ramadan sebagai satu fasa yang “mencemaskan” dan menimbulkan rasa “tidak senang hati”.

Seorang suri rumah di Dengkil, Selangor yang mahu dikenali sebagai Adawiyah berkata, kehadiran bulan puasa bermakna mereka bakal kehilangan pendapatan selama sebulan mengakibatkan mereka sukar untuk makan dan membeli barangan keperluan harian.

Suaminya, seorang migran dari Indonesia bekerja sebagai buruh kasar membina unit-unit rumah persendirian di Selangor dan Negeri Sembilan kebiasaanya cuti daripada menjalankan sebarang aktiviti sepanjang bulan Ramadan.

“Kerja suami penat, bawah panas. Bos akan suruh berhenti buat rumah sebulan. Jadi, kami tak ada duit. Kalau ikut orang lain pergi ikat simen, baiki rumah, bukan dapat wang hari-hari sebab gaji bayar seminggu sekali,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kalau tak ada orang sumbang makanan, memang kami anak beranak tak makan.”

Adawiyah berkongsi rutin hariannya memasak untuk lima orang anaknya yang berumur dari 11 hingga dua tahun.

Mi kuning sebanyak tiga kilogram akan digoreng untuk santapan anak-anaknya sepanjang hari.

Sekiranya ada lebih, dia akan memanaskannya sekali lagi pada keesokan hari.

Pada hari yang bertuah, dia akan mendapat lauk pauk yang dikirim oleh jiran-jiran terdekat.

“Hari biasa, nasi tu kami makan bila suami baru dapat gaji. Bolehlah masak dengan ayam. Bila beras habis, ayam dah habis, kita tunggu bila ada rezeki boleh beli lagi. Kawan-kawan suami tahu kami susah ramai juga orang datang tolong bagi makanan.

“Apa yang mereka bagi itu, kami simpan untuk puasa. Kalau ada lebih lah sebab anak-anak sekarang kuat makan.”

Pendapatan bawah paras kemiskinan

Dia dan suami berpindah ke Dengkil pada 2018 dari Klang kerana tujuan kerja.

Sejak itu, dia dan suami sering dibantu jiran tetangga dan beberapa wakil ketua komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam bentuk wang tunai dan bantuan bahan makanan.

Ida dan suaminya tidak mempunyai banyak rancangan bagi menyambut Ramadan kerana sedar kekangan kewangan yang dihadapi mereka.

Kadar upah suaminya sebulan tidak sampai RM 2000, sementara had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di Malaysia adalah RM2,208.

Ini menyebabkan keluarga ini bimbang dengan keperluan harian yang sering kali tidak mencukupi.

Sama juga ceritanya kepada sebuah keluarga di perumahan kos rendah di Lembah Klang yang menyifatkan sambutan Ramadan adalah sama seperti sebelum musim pandemik.

Seorang suri rumah mahu di kenali sebagai Ida berkata, setiap kali bulan puasa tiba, dia akan menyediakan lauk pauk yang “murah” di pasar.

Katanya, bermewah dalam sambutan puasa tidak pernah dapat diraikan olehnya dan enam orang anak-anak.

“Apa yang makan ketika berbuka, itulah yang dibawa sampai ke sahur. Jarang nak makan dua hingga tiga kali (sehari) macam orang lain.

“Kita dah ajar anak-anak dari kecil tak boleh makan mewah, mereka sendiri sampai besar dah faham. Apa yang ada, itu yang mereka makan,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di rumahnya di Petaling Jaya.

Suami Ida bekerja sebagai pemandu lori yang menawarkan perkhidmatan mengangkut barang.

Buat masa ini, permintaan terhadap perkhidmatannya amat perlahan menyebabkan ekonomi rumahtangganya dalam keadaan sukar.

Lebih memilukan, dua orang anak Ida yang berusia 18 dan 20 tahun sedang menjalani rawatan penyakit tibi di dua hospital berasingan iaitu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Shah Alam yang memerlukan lebih perhatian dan kos untuk pengangkutan.

Katanya, kos pergi balik setiap kali rawatan dan pengambilan ubat mencecah hampir RM50 dan sekurang-kurangnya tiga kali temujanji dalam masa sebulan bersamaan kira-kira RM150 wang tunai diperlukan.

Tinjauan MalaysiaNow di rumahnya mendapati Ida sendiri dalam keadaan yang tidak sihat akibat sakit belakang.

Ia mengakibatkan pergerakannya sedikit terbatas dan tidak boleh bekerja untuk membantu suami menyara keluarga.

Di dapur pula, kelihatan beberapa tin sardin dan botol kordial minuman.

Di dalam peti sejuk Ida, hanya kelihatan beberapa bekas lebihan makanan dan bekas air.

Di sebalik kemeriahan menyambut Ramadan, terdapat juga aktiviti amal dan sumbangan wang tunai oleh pelbagai pihak kepada mereka yang memerlukan.

Ianya seakan satu tradisi setiap kali Ramadan menjelma.

Ini juga memberi makna bahawa banyak sumbangan bererti masih banyak kemiskinan.

Meskipun selepas dua tahun, dunia sudah menyaksikan banyak perubahan akibat pandemik, tetapi ia tidak berlaku pada kemiskinan.

Dalam banyak hal, kemiskinan masih sama.

Tiada upaya makan dan minum, kuasa membeli dan kesan psikologi yang boleh mempengaruhi kesihatan individu.

Kak Nani dibantu anaknya, Izzah membuat kerja-kerja dapur di rumah mereka di Petaling Jaya.

Sementara itu, di perumahan sama, MalaysiaNow bertemu seorang ibu tunggal yang mesra disapa dengan panggilan Kak Nani.

Dia kehilangan suami akibat sakit jantung pada Februari 2020.

Sejak itu, dia mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga untuk memberi makan dan minum kepada tiga orang anaknya.

Kata Kak Nani, dia masih belum membeli sebarang persiapan untuk menyambut Ramadan.

“Kalau ada orang bagi (sumbangan makanan), kami akan ambil. Tapi kalau nak meminta-minta, kami tak buat,” katanya.

Kak Nani tidak mempunyai kerja tetap dan bergantung kepada keuntungan kecil daripada perniagaan sambilan dalam talian untuk menyara keluarga.

Anak sulungnya, Izzah yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberitahu dia akan mula bekerja sementara menunggu keputusan untuk membantu ibunya mendapatkan wang belanja harian bagi adik-adik yang masih bersekolah.

Dalam kehidupan yang dihimpit dengan desakan ekonomi di bandar, Kak Nani berkata dia pernah terfikir untuk berpindah keluar dari rumahnya dan pulang ke kampung halaman di Dungun, Terengganu.

Bagaimanapun, hasratnya itu dihalang oleh jiran-jiran tetangga yang menyakinkan dia untuk terus tinggal di rumah peninggalan suaminya demi kebaikan anak-anaknya yang masih bersekolah.

“Orang faham, banyak keluarga yang memerlukan di flat ini.

“Kadang-kadang ada yang hulur bantuan dan juga kirim sumbangan kepada anak-anak dan mereka bawa balik kepada saya di rumah.”