Thursday, May 19, 2022

Malaysia jangka tarik 2 juta pelawat antarabangsa tahun ini

Nancy Shukri berkata pembukaan semula sempadan Malaysia hari ini akan membawa pemulihan besar bagi industri pelancongan.

Other News

Malaysia dijangka menarik dua juta pelancong antarabangsa tahun ini dengan RM8.6 bilion pendapatan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Beliau berkata pembukaan semula sempadan Malaysia hari ini akan membawa pemulihan besar bagi industri pelancongan.

“Kita menunggu dengan sabar untuk saat ini. Ini seperti Hari Raya kita,” kata Nancy semasa mengalu-alukan ketibaan 220 penumpang pesawat Etihad Airways dari Abu Dhabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pesawat penerbangan EY418 itu yang mendarat di KLIA pada 10.14 pagi diberikan sambutan tradisi semburan air.

Nancy berkata terdapat kira-kira 100 penerbangan yang dijadualkan tiba di lapangan terbang Malaysia hari ini, membawa lebih 10,000 penumpang termasuk pelawat asing, dengan 80 daripadanya melalui KLIA dan klia2.

“Industri teruja untuk mengalu-alukan pengunjung sekali lagi selepas aktiviti pelancongan sunyi sejak dua tahun lepas,” katanya sambil menambah bahawa mereka telah bersedia terutamanya pengendali inap desa dan ekopelancongan di kawasan luar bandar.

Nancy berkata pemain industri diharap menggunakan kebijaksanaan digital untuk mempromosi produk masing-masing kerana trend pelancong kini lebih cenderung kepada melancong dalam kumpulan kecil dan keluarga.

Beliau berkata pelbagai program pelancongan juga telah disusun untuk tahun ini seperti majlis iftar bagi menonjolkan adat budaya Malaysia dan produk pelancongan seperti tempat hiburan dan membeli-belah di Genting Highlands dan Cameron Highlands serta percutian di pulau yang mendapat permintaan memberangsangkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Zakaria Shaaban pula berkata fasiliti di 183 pintu masuk negara telah bersiap siaga menerima kedatangan pengembara dengan kaunter manual telah diaktifkan 50% manakala “auto gate” telah aktif 100%.

“Pihak imigresen bersedia membuka lebih banyak kaunter manual bergantung kepada keperluan. Setakat ini kaunter sedia ada mampu menampung ketibaan pengembara tanpa berlaku apa-apa kesesakan,” katanya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Iskandar Mizal Mahmood berkata pihaknya telah melakukan persediaan rapi sejak sebulan lepas dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan proses ketibaan dan waktu menunggu untuk pengembara ringkas dan cepat.

Beliau berkata sukarelawan dan pasukan petugas MAHB telah digerakkan di kawasan lapangan terbang untuk membantu pengembara  terutamanya dari segi penggunaan aplikasi MySejahtera untuk tempoh dua minggu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles