- Iklan -
Berita

310 kanak-kanak lengkap divaksinasi, 15.8 juta dewasa terima dos penggalak

37.4% populasi kanak-kanak di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan menjalankan vaksinasi kepada seorang kanak-kanak di SK Putrajaya Presint 11 (3). Gambar: Bernama
Seorang petugas kesihatan menjalankan vaksinasi kepada seorang kanak-kanak di SK Putrajaya Presint 11 (3). Gambar: Bernama

Seramai 310 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sebanyak 1,329,638 kanak-kanak atau 37.4% populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Menerusi PICKids yang dilancar pada 3 Februari lepas, kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dengan kedua.

Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,851,819 individu atau 91.7% daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,948,197 atau 94.8% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 15,808,761 individu atau 67.2% populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak dan 22,953,296 atau 97.6% lengkap vaksinasi manakala 23,228,967 atau 98.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 57,199 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 6,788 suntikan pertama, 1,895 suntikan lengkap dan 48,516 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,909,031 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 44 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak merekodkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes diikuti Selangor (11 kes), dan Johor sebanyak enam kes.

Selain itu, Pulau Pinang merekodkan sebanyak tiga kes kematian dikuti Kelantan, Terengganu dan Sabah yang mencatatkan sebanyak dua kes manakala satu kes di Negeri Sembilan.