- Iklan -
Berita

PN tarik undi Melayu BN, kata penganalisis

Mereka berkata lebih ramai pengundi Melayu muda menyokong Perikatan Nasional berbanding Barisan Nasional pada pilihan raya Johor baru-baru ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Syaza Norazharudin
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi muda menunjukkan dakwat di jari selepas membuang undi pada PRN Johor 12 Mac lalu.
Pengundi muda menunjukkan dakwat di jari selepas membuang undi pada PRN Johor 12 Mac lalu.

Parti politik perlu mengambil kira peralihan generasi dalam corak pengundian menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pakar memetik beberapa perubahan dalam landskap politik negara ketika perbincangan terus hangat mengenainya.

Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre berkata peralihan seperti itu dapat dilihat pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini, di mana lebih ramai pengundi muda Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding Barisan Nasional (BN) sementara kedudukan Pakatan Harapan (PH) ketinggalan jauh di belakang.

“Corak pengundian generasi dan politik identiti masih memainkan peranan.

“PN muncul sebagai alternatif kepada BN bagi pengundi Melayu, khususnya golongan muda,” katanya semasa webinar anjuran Institut Masa Depan Malaysia hari ini.

Pada PRN Johor 12 Mac lalu, BN kehilangan kira-kira 8% undi Melayu.

Ketika PRN Melaka pada November tahun lepas, gabungan itu menyaksikan penurunan sokongan Melayu sebanyak 1% sementara PH kehilangan kira-kira 55%.

Dalam pada itu, Hamidin Abd Hamid dari Ilham Centre pula berkata, jika dilihat dari segi corak pengundian di Johor, peranan pengundi baru terlalu dititikberatkan.

“Bergantung kepada kawasan, di kawasan bandar dan separa bandar, belia sangat bebas dalam undi mereka,” katanya.

“Di kawasan bandar, kita perhatikan pengundi muda banyak dipengaruhi rakan sebaya dan keluarga dari segi corak pengundian.

“Namun persoalan besarnya, ialah apakah mereka akan keluar mengundi,” katanya merujuk kadar peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi muda di Johor.

Beliau turut berkata perkara ini akan membimbangkan BN kerana sekitar 50% pengundi pada PRU akan datang terdiri daripada mereka yang berusia di bawah 39 tahun.

“Kebanyakan mereka dalam kumpulan umur ini mengundi PH pada PRU lalu tidak kembali mengundi BN. Mereka undi PN,” tambahnya.

“Dalam erti kata lain, undi BN sangat berkurangan dari sudut itu.”

PRN Johor menyaksikan pengundi seawal 18 tahun turut turun mengundi bagi kali pertama selepas rang undang-undang (RUU) Undi 18 berkuat kuasa selepas diluluskan sebulat suara antara kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat.

Penganalisis politik Bridgette Welsh berkata walaupun pengundi dalam kumpulan usia 18-21 tahun berpecah, golongan itu boleh menjadi kuasa transformatif bagi melakukan perubahan.

Pada PRN Johor, 38% undi daripada golongan itu diberi kepada BN, sementara 26% kepada PN dan 33% lagi kepada PH dan Muda.

“Kekuatan PN, khususnya Bersatu, datang daripada sokongan orang muda – bukan Gen Z, tetapi golongan milenium,” katanya.

“Kita perlu mula beralih daripada hanya melihat rakyat Malaysia berdasarkan etnik, kepada melihat pengundian mengikut generasi, pengundian mengikut kelas, jantina dan isu serantau.”

Malahan, katanya, mereka yang berusia 50-an, iaitu kumpulan umur yang dikaitkan dengan gerakan reformasi pada 1998 kini tidak lagi memandang PH dengan cara yang sama.

Berdasarkan corak pengundian yang ditunjukkan dalam beberapa PRN yang diadakan sebelum ini, beliau mengatakan dari segi kumpulan umur pengundi, BN dijangka memenangi 134 kerusi, sementara PH 50 dan PN sebanyak 37 kerusi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya tidak menggunakan parameter yang ditunjukkan pada PRN bagi meramal keputusan PRU akan datang.

“Salah satu perkara yang agak menarik ialah walaupun angka menunjukkan Umno adalah pilihan utama, namun pada masa yang sama bahagian undi mereka tidak ada.”

Dalam pada itu, katanya lagi, PH pula perlu menyelesaikan banyak perkara bagi mengatasi kelemahan yang ia tunjukkan ketika menghadapi PRN baru-baru ini, khususnya dari segi kepimpinan.