- Iklan -
Berita

Pemimpin lompat parti tidak dialu-alukan, kata PRS selepas Masir beri isyarat mahu kembali

Ketua Pemuda PRS Snowdan Lawan berkata tindakan lompat parti adalah 'ancaman' yang boleh menghancurkan perpaduan dalam kalangan ahli.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak Snowdan Lawan.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak Snowdan Lawan.

Parti Rakyat Sarawak (PRS) hari ini berkata ia tidak mengalu-alukan bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu, sehari selepas Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menunjukkan minat untuk kembali menyertai PRS selepas keluar dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Bercakap kepada MalaysiaNow, Ketua Pemuda PRS Snowdan Lawan menyifatkan tindakan lompat parti sebagai satu “ancaman” yang boleh menghancurkan perpaduan dalam kalangan ahli parti itu.

“Sekiranya ada pengajaran yang boleh diambil (daripada pengalaman lalu), maka kita perlu mengambil iktibar ‘jangan sampai pisang berbuah dua kali’ dan tidak terpedaya dengan cara politik yang bermusuhan ini,” katanya.

Beliau juga turut mencadangkan usaha dilakukan untuk menghalang bekas ahli daripada menyertai semula parti itu ketika undang-undang anti-lompat parti masih belum ada.

Semalam, Masir mengumumkan beliau keluar dari PSB dan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum menyertai PSB pada 2019, beliau merupakan ahli PRS.

Ketika ini, wujud spekulasi mengatakan beliau mungkin akan kembali menyertai parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Masir berkata beliau akan meneruskan tugasnya sebagai seorang ahli Parlimen bebas namun tidak menolak kemungkinan akan menyertai semula PRS.

“Jika ada tawaran, saya mungkin akan fikirkan,” katanya.

“Jika tiada, maka saya akan terus jadi ahli Parlimen bebas sehingga penggal tamat pada 2023.”

Dalam pada itu, Snowdan berkata tindakan Masir keluar dari PSB menunjukkan wujud keperluan undang-undang anti lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

“Sesiapa boleh meneka berkenaan parti yang mana dia mungkin akan melompat, namun tidak seharusnya pintu dibuka kepada beliau,” katanya sambil menambah tindakan Masir itu juga turut menunjukkan ketidakmatangan dan kurang berprinsip dalam berpolitik.

Beliau turut mengingatkan Masir bahawa sokongan terhadapnya datang daripada rakyat.

“Kami percaya akan ada tekanan besar yang sukar dihadapinya daripada penduduk luar bandar supaya beliau melaksanakan pembangunan di sana,” tambahnya, merujuk kepada status Masir yang kini merupakan ahli Parlimen bebas.