Monday, May 16, 2022

Laporan dalaman dapati pelajar UiTM tidak bawa komputer peribadi ketika kuliah

Laporan dalaman pengurusan UiTM berkata pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam video tular tersebut sudah bertemu dan mahu mengharmonikan suasana.

Other News

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dimaki pensyarah dalam sebuah klip video yang tular baru-baru ini ketika mengikuti kelas dalam talian menggunakan telefon bimbit kerana tidak membawa komputer peribadi ke kampus, menurut dokumen laporan dalaman yang bocor.

Menurut laporan kronologi kejadian, video tersebut tidak dirakam oleh pelajar tersebut sebaliknya dirakam oleh orang lain yang kemudiannya dikongsi dalam talian sehingga tular di media sosial.

“Pelajar (tersebut) tidak bersetuju sama sekali video ini ditularkan,” kata laporan tersebut.

Ia juga mengatakan bahawa rekod universiti menunjukkan pelajar itu tidak pernah memohon bantuan kewangan dan mendapat pinjaman PTPTN.

Laporan itu juga turut mendapati bapa kepada pelajar tersebut tidak bekerja ketika ini atas sebab yang tidak dapat dipastikan sementara ibunya bekerja sebagai operator kilang.

Video itu hangat diperkatakan berikutan kenyataan pensyarah tersebut yang dilihat seakan menghina golongan B40 atau golongan berpendapatan rendah.

Menurut pengurusan UiTM, selepas video tersebut tular ia mengarahkan timbalan naib canselor hal ehwal pelajar ke UiTM Sri Iskandar di Perak untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Lima pelajar turut mengesahkan video tersebut ketika ditemu bual dan ia dirakam semasa kuliah minggu kelapan pada semester Oktober 2021-Februari 2022 bagi subjek “construction economic and Islamic finance” yang diajar pensyarah tersebut.

Pertemuan turut diadakan antara pelajar, timbalan naib canselor Mohd Sazili Shahibi dan turut dihadiri pensyarah tersebut.

Laporan itu mengatakan perbincangan antara kesemua pihak adalah bagi mendapatkan gambaran tepat isu tersebut dan mengharmonikan suasana antara pihak-pihak yang terlibat.

Berhubung tindakan susulan, dua pilihan diambil termasuk tidak mengambil sebarang tindakan selepas pelajar dan pensyarah tersebut mahu mengharmonikan keadaan.

Atau, kontrak pensyarah tersebut ditamatkan selepas diperbaharui pada 15 Mac lalu dalam masa sebulan tawaran kontrak diberikan.

“Namun, keputusan UiTM bergantung kepada nasihat dari kementerian pengajian tinggi,” katanya.

Ketika dihubungi, sumber dari UiTM mengesahkan laporan tersebut.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles