Monday, May 16, 2022

Individu hilang status lengkap vaksinasi masih boleh makan di restoran, kata Khairy

Mereka juga dibenarkan memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.

Other News

Individu yang hilang status lengkap vaksin bermula 1 April kerana tidak mendapat dos penggalak masih boleh melakukan aktiviti sama seperti mereka yang lengkap divaksinasi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Antara aktiviti itu ialah makan di restoran, memasuki pusat beli-belah, tempat kerja dan rumah ibadat.

“Sehubungan itu, pemilik-pemilik premis perlu pastikan bahawa hanya pelanggan atau pengunjung yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata seperti diumumkan sebelum ini, semua penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas akan kehilangan status vaksinasi lengkap dalam aplikasi MySejahtera sekiranya belum menerima dos penggalak.

Bagaimanapun katanya, maklumat sejarah vaksin primer yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera masih kekal.

Khairy berkata seseorang individu diiktiraf sebagai lengkap vaksinasi dos primer apabila memenuhi kriteria seperti bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

Selain itu, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan.

Beliau berkata bagi pengembara dari luar negara yang akan memasuki Malaysia, mereka perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu hanya pengembara yang menerima vaksinasi lengkap (lengkap vaksinasi dos primer dan dos penggalak) dibenarkan memasuki premis berkenaan.

“Pemakluman SOP terbaru ini bagaimanapun bukan bermaksud penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas serta penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun dan ke atas tidak perlu mendapatkan dos penggalak,” katanya.

Khairy berkata data penilaian yang dijalankan dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia mendapati tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 menurun sehingga 20% bagi dua dos vaksin Pfizer dan 48 peratus bagi dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas vaksinasi primer.

Menurutnya pengambilan dos penggalak akan meningkatkan semula paras antibodi dalam tubuh, seterusnya boleh mengurangkan risiko gejala teruk akibat jangkitan Covid-19.

“Sehubungan itu, kementerian kesihatan ingin menasihatkan dan menggalakkan individu yang belum menerima dos penggalak supaya mendapatkannya dengan segera,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles