- Iklan -
Berita

400,000 orang dijangka guna laluan darat Malaysia-Singapura

Semua kaunter imigresen dan kastam akan dibuka dan beroperasi 100% di Johor Bahry bagi mengelak kesesakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Trafik di tempat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari Johor. Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Gambar: AFP
Trafik di tempat pemeriksaan Woodlands di Singapura dari Johor. Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Gambar: AFP

Hampir 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan negara bermula Jumaat ini.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru akan beroperasi sepenuhnya, bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.

“Ketika prapandemik, hampir 400,000 pengguna masuk dan keluar setiap hari, jadi 400,000 orang ini kita jangkakan untuk tujuh hari sekurang-kurangnya dari 1 hingga 7 April. Semua kaunter akan dibuka dan beroperasi 100% di kedua-dua CIQ, mereka juga telah membuat segala persediaan tersebut.

“Jabatan Penerangan Johor juga akan menyediakan infografik yang akan dipaparkan di sosial media, supaya pengembara tahu apa prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan, paling penting mereka perlu muat turun aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas meninjau “dry run” pembukaan semula sempadan di Kompleks CIQ KSAB semalam.

Onn berkata hampir 2,700 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kesihatan Negeri, akan bertugas 24 jam di kedua-dua CIQ berkenaan mulai 1 April ini.

Beliau berkata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan supaya 130 sukarelawan Southern Volunteers, ditempatkan di kedua-dua CIQ tersebut untuk membantu rakyat Malaysia dan pengembara sekali gus memudahkan urusan mereka nanti.

Berhubung pengecualian bayaran tol tujuh hari mulai Jumaat ini di kedua-dua CIQ itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, atas pengumuman berkenaan sekali gus mempertimbangkan dengan baik permohonan kerajaan negeri suarakan sebelum ini, selaras dengan pendekatan memudah cara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof, kerana turut membantu selain kepada menteri pengangkutan yang bersetuju dengan permohonan kerajaan negeri untuk memberi pengecualian caj jalan sebanyak RM20 bagi tempoh seminggu, iaitu bermula 1 hingga 7 April.

“Keputusan ini pastinya mampu melancarkan perkhidmatan dan aliran trafik semasa proses masuk ke Malaysia di kedua-dua CIQ, dan pemilik kenderaan tidak perlu berhenti untuk urusan bayaran dan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka untuk tempoh satu minggu,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata pengecualian bayaran tol tujuh hari mulai Jumaat ini di kedua-dua CIQ berkenaan, mampu meleraikan masalah kesesakan di kedua-dua pintu masuk sempadan darat, berikutan jumlah kenderaan yang dijangka bertambah terutamanya untuk menyambut awal Ramadan.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 191,263 kenderaan dari Singapura sudah mendaftar untuk memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada kenderaan masing-masing, dan daripada jumlah itu, 65,263 pemilik sudah menerima tag tersebut.

Pada 25 Mac lepas, perdana menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, menerusi kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.