- Iklan -
Berita

37.3% kanak-kanak divaksinasi, 67% dewasa terima dos penggalak

Sementara itu, 94.7% populasi remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan memberikan vaksin Covid-19 kepada seorang kanak-kanak di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil. Gambar: Bernama
Seorang petugas kesihatan memberikan vaksin Covid-19 kepada seorang kanak-kanak di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil. Gambar: Bernama

Sebanyak 1,323,892 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau 37.3% populasi itu di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,851,056 individu atau 91.6% daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,947,622 atau 94.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 15,758,429 individu atau 67% populasi dewasa pula telah menerima dos penggalak dan 22,952,209 atau 97.6% lengkap vaksinasi manakala 23,228,125 atau 98.8% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 51,867 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 4,949 suntikan pertama, 1,438 suntikan lengkap dan 45,480 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,849,462 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 33 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes diikuti Kuala Lumpur dan Perak empat kes manakala Sarawak dan Pahang pula masing-masing mencatatkan tiga kes.

Selain itu, Pulau Pinang dan Selangor merekodkan dua kes manakala masing-masing satu kes di Sabah, Kelantan dan Negeri Sembilan.