Thursday, May 19, 2022

Tukang cuci sekolah di Sabak Bernam 4 bulan tak dapat gaji

Mereka menyalahkan sistem kontrak yang memberikan ruang eksploitasi dilakukan syarikat.

Other News

Sebelum loceng pertama sekolah berbunyi pada sesi pagi, Kak Zahirah (bukan nama sebenar), seorang tukang cuci sudah memulakan kerja-kerja pembersihan di sebuah sekolah rendah di Sekinchan.

Kerjanya dilakukan sepanjang hari, dan biasanya, dia akan pulang ke rumah pada sebelah petang.

Zahirah adalah satu-satunya pencari nafkah keluarga termasuk empat anaknya yang masih kecil.

Namun, sejak empat bulan lalu, wanita gigih itu tidak menerima gajinya.

Masalah tersebut berpunca daripada kerumitan sistem kontrak yang memberi ruang kepada kontraktor swasta tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi pekerja seperti Zahirah, jika mereka mahu.

Tanpa pendapatan, Zahirah kini buntu memikirkan apa yang perlu dia lakukan.

“Saya menggunakan semua wang saya untuk bayar rumah, kereta, dan keperluan anak-anak saya,” katanya ketika ditemu bual MalaysiaNow.

“Saya juga terpaksa meminjam wang daripada kawan-kawan dan ibu saya. Tetapi apa yang boleh saya lakukan? Saya dalam keadaan terdesak.”

Zahirah adalah salah seorang daripada kira-kira 50 pekerja pembersihan sekolah rendah dan menengah di Sabak Bernam yang mengadakan protes secara aman di luar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Protes itu dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), sebuah badan yang memperjuangkan hak pekerja dan sedang berusaha memansuhkan sistem kontrak.

Himpunan itu juga turut menuntut pampasan bagi tukang cuci yang tidak dibayar sejak November tahun lalu.

JPKK turut menggesa kontraktor yang dilantik ditamatkan perkhidmatan dan disenarai hitam daripada mengambil pekerja baru pada masa akan datang.

Walaupun begitu, mengadakan protes dan tunjuk perasaan sebenarnya bukanlah pilihan pertama mereka.

Sebelum ini, selama beberapa bulan, mereka membuat aduan berkenaan isu tersebut kepada pejabat pendidikan daerah di Sabak Bernam.

Akhirnya, pada Februari lalu, mereka memfailkan aduan di jabatan buruh, menamakan tiga kontraktor swasta.

Malangnya, mereka tidak menerima sebarang maklumat susulan mengenai aduan tersebut dan hanya diminta supaya bersabar.

Pihak jabatan memberikan jaminan, mengatakan “anda akan diberi pampasan tidak lama lagi.”

Bagaimanapun, setelah menunggu beberapa bulan tanpa sebarang perubahan, kesabaran Zahirah semakin berkurang.

“Saya sudah bekerja di bawah kontraktor ini selama tiga tahun dan saya tidak pernah alami situasi tidak dibayar gaji selama empat bulan,” katanya.

“Saya bernasib baik kerana ada beberapa guru di sekolah saya memberikan sumbangan kepada kami, dan beberapa NGO turut membantu. Tetapi kami tidak boleh bergantung kepada mereka sepanjang masa.”

Kak Yati dan Kak Mas (bukan nama sebenar), dua lagi tukang cuci di sebuah sekolah menengah di Simpang Lima, berkata mereka hanya bertemu majikan sekali sahaja sejak bekerja di sekolah tersebut iaitu ketika menandatangani kontrak.

“Kami sudah bekerjasama dengan JPKK sejak awal Januari.

“Kami hanya mahu gaji kerana ia adalah hak sebagai pekerja pembersihan,” kata Yati.

Yati, Mas dan rakan sekerja mereka yang lain mengatakan sistem kontrak tidak memberikan sebarang faedah kepada pekerja.

Menurut mereka, kontrak itu tidak memperuntukkan cuti tahunan dan tidak boleh memohon cuti perubatan selain perlu menggantikan waktu kerja jika mereka mengambil cuti kecemasan.

“Tahun lalu, salah seorang rakan kami mengalami kemalangan menyebabkan tulang lututnya patah,” kata Mas.

“Dia terpaksa dimasukkan ke hospital dan perlu mengisi beberapa borang untuk memohon cuti sakit, namun dia tidak terima sebarang maklum balas daripada majikan.

“Akhirnya, dia terpaksa guna wang sendiri untuk bayar bil hospital.”

Mengambil cuti sehari dari tempat kerjanya bagi himpunan tunjuk perasaan di Putrajaya bukanlah perkara yang mudah bagi wanita ini, namun usaha mereka akhirnya membuahkan hasil.

Pada petang itu, pegawai kementerian pendidikan berkata mereka akan diberi pampasan pada 1 April ini.

Bagaimanapun, pihak pekerja pembersihan yang terjejas dinasihatkan untuk membuat aduan berhubung penyenaraian hitam syarikat terbabit.

“Pihak berkuasa kata siasatan akan dijalankan dalam masa dua minggu, dan jika aduan pekerja benar, mereka akan menamatkan kontrak syarikat kontraktor,” kata seorang lagi tukang cuci Norma Abu Hassan.

Walaupun tidak menerima gaji, pekerja pembersihan sekolah tetap menjalankan tugas mereka.

“Saya sudah 15 tahun bekerja sebagai tukang cuci kerana mahu bantu keluarga dengan pendapatan bulanan sebanyak RM970,” kata Yati.

“Suami saya seorang petani dan saya mempunyai lima orang anak untuk dijaga.”

MalaysiaNow telah cuba menghubungi syarikat kontraktor tersebu bagi mendapatkan respons mereka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles