- Iklan -
Berita

Pergelutan kuasa menjelang pemilihan presiden baru PRS sejak 18 tahun ditubuhkan

Walaupun beberapa nama dicadangkan bakal menduduki jawatan tertinggi parti itu, namun pemerhati berkata sukar untuk menggantikan mendiang James Jemut Masing.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Mendiang James Jemut Masing (duduk, empat dari kanan) bersama pimpinan Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak.
Mendiang James Jemut Masing (duduk, empat dari kanan) bersama pimpinan Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak.

Ketika Parti Rakyat Sarawak (PRS) sedang bersedia untuk melantik presiden barunya bulan depan bagi kali pertama dalam tempoh 18 tahun ditubuhkan, pemerhati politik berkata keputusan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) akan menunjukkan sejauh mana kestabilan dalam pucuk pimpinan parti di mana khabar angin mengatakan wujud perebutan kuasa sejak kematian James Jemut Masing lima bulan lalu.

Masing yang merupakan presiden PRS meninggal dunia pada 31 Oktober tahun lepas.

Kematian mendiang menyebabkan kelompongan kuasa berlaku dalam parti di mana penganalisis memberi amaran jawatan utama parti itu perlu segera diisi.

Pada 7 Mei depan, TDC parti itu akan menyaksikan pemilihan tampuk kepimpinan melalui undian perwakilan termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi PRS.

Lucy Sebli dari Universiti Malaysia Sarawak berkata walaupun kebanyakan jawatan akan diputuskan perwakilan, keputusan akhir berhubung siapakah presiden baru parti akan ditentukan Majlis Tertinggi.

“Jawatan presiden tidak akan dipertandingkan,” katanya.

“Mengikut perlembagaan PRS, presiden parti akan dilantik oleh ahli Majlis Tertinggi.

“Jawatan selebihnya akan dipertandingkan melalui pemilihan semasa TDC.”

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata sesiapa yang dilantik sebagai presiden parti harus berkebolehan untuk mengukuhkan kedudukan parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan gabungan kerajaan negeri.

Berhubung pemangku jawatan presiden PRS Joseph Salang yang kini dilihat terkehadapan dalam merebut jawatan tersebut, Lucy berkata, Majlis Tertinggi mungkin akan memilih beliau sebagai presiden parti yang baru.

Bagaimanapun, pemerhati politik veteran Jayum Jawan sebaliknya tidak yakin Salang merupakan pilihan terbaik bagi PRS.

“Salang dijangka tidak akan duduki jawatan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Beliau dilantik sebagai timbalan presiden kerana Masing tidak terancam dengannya, terutama selepas isu Joseph Entulu.”

Jayum merujuk kepada Joseph Entulu Belaun, yang dipecat dari PRS sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Jawatan beliau sebagai timbalan kemudiannya diganti oleh Salang, yang bagaimanapun kalah di kerusi Julau selepas tiga penggal kepada Larry Sng.

Selain itu, nama Setiausaha Agung PRS Janang Bungsu juga turut diuar-uarkan sebagai presiden yang baru, di mana spekulasi mengatakan beliau dan Salang kini sedang bersaing bagi jawatan tersebut.

Namun, Jayum berkata kedua-dua tokoh itu tidak mempunyai kelebihan untuk menjadi seorang presiden parti seperti Masing.

“Mereka memerlukan pengesahan ahli parti terutama 11 Adun PRS,” katanya.

“Dua pemimpin parti itu tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan yang menandakan kelemahan mereka selain turut merugikan kedua-dua belah pihak.”

Bagi Jayum, kematian Masing yang berlaku secara mengejut hanyalah satu lagi titik perkembangan dalam pergelutan dalaman yang sudah wujud dalam PRS.

Beliau juga yakin pertikaian mengenai siapakah yang akan menggantikan Masing tidak dapat dielakkan memandangkan asal usul PRS sendiri yang ditubuhkan sebagai parti serpihan.

“PRS lumpuh dengan kematian Masing,” katanya.

“Seakan-akan Masing adalah PRS dan PRS adalah Masing.

“Ini adalah mentaliti Iban, sejak dulu, sekarang dan akan datang.”