- Iklan -
Berita

Keputusan pemilihan sukarkan usaha DAP tarik sokongan Melayu

Bagaimanapun, seorang pemimpin Melayu DAP berkata isu menarik minat Melayu tidak timbul dalam pemilihan baru-baru ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin parti berdiri pada Kongres Kebangsaaan DAP ke-17 di Shah Alam pada 20 Mac lalu. Gambar: Bernama
Pemimpin parti berdiri pada Kongres Kebangsaaan DAP ke-17 di Shah Alam pada 20 Mac lalu. Gambar: Bernama

Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP baru-baru ini menyukarkan usaha untuk mendapatkan kepercayaan sekaligus sokongan daripada majoriti Melayu di negara ini apabila keputusannya menyaksikan imej “kecinaan” parti itu masih sukar dihakis, kata penganalisis.

Dalam pemilihan pada 20 Mac, hanya seorang wakil Melayu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman yang berjaya mendapatkan undi yang mencukupi untuk masuk dalam CEC DAP.

Sementara nama-nama Melayu lain termasuk yang disifatkan “heavyweight” tumpas dan tidak tersenarai dalam CEC.

Mereka termasuk Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari, bekas exco Johor, Sheikh Umar Ali dan Syahredzan Johan.

Dua perwakilan Melayu dalam CEC sebelum ini, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Zairil Khir Johari turut tewas.

Bagaimanapun, Tengku Zulpuri dan Syahredzan yang juga setiausaha politik Lim Kit Siang menjadi anggota CEC secara lantikan.

Penganalisis politik dari Sabah Jeniri Amir berkata berkata, keputusan CEC itu menggambarkan dilema DAP berhubung usahanya mempromosikan imej Malaysia yang bersifat inklusif.

“Kelihatannya selepas 10 tahun, usaha untuk tampilkan lebih ramai Melayu tidak kesampaian, malah semacam berundur pula,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kemenangan Gobind Singh Deo yang meraih undi tertinggi dalam CEC tidak menggambarkan bahawa kononnya kaum tidak penting dalam DAP.

“Melayu masih belum dapat diterima dalam DAP,” katanya.

Usaha sukar menangi sokongan Melayu

Usaha DAP untuk mendapatkan sokongan Melayu bukanlah perkara baru malahan sudah bermula sejak 1960-an lagi dengan nama-nama seperti Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor yang mewakili parti itu dalam pilihan raya umum (PRU).

DAP dilihat kembali agresif menarik dan menonjolkan pemimpin muda Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dengan ledakan media sosial, pemimpin muda seperti Zairil dan Dyana Sofya Mohd Daud diangkat sebagai ikon Melayu DAP.

Dyana pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan namun tewas pada Mah Siew Keong pada 2014.

Namun bagi Aziz yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), isu menarik minat Melayu tidak timbul dalam pemilihan baru-baru ini.

Ini kerana katanya masyarakat Melayu bukanlah “power base” DAP.

“Parti politik ini kita ada banyak isu yang hendak ditangani. Isu Melayu ini isu kecil sahaja.

“Keputusan CEC itu hanyalah satu perlumbaan dalam parti dan tidak boleh dilihat sebagai isu Melayu atau bukan Melayu,” kata bekas exco Perak itu kepada MalaysiaNow.

Aziz yang sebelum ini merupakan ahli PKR berkata, soal Melayu terpinggir tidak timbul dalam “mindset” DAP.

Katanya, jumlah Melayu yang ramai dalam CEC DAP tidak semestinya memenangkan mereka dalam pilihan raya.

“Dalam pemilihan parti, Cina bersaing sesama Cina, India bersaing sesama India. Ini persaingan terbuka, tidak timbul Melayu diketepikan,” katanya.

Sementara Jeniri berkata, masyarakat Melayu bakal membentuk satu persepsi terhadap bagaimana masa depan mereka jika menyertai DAP.

“Gambaran bahawa parti itu inklusif dan bukan chauvinistik yang memperjuang kepentingan kaum-kaum tertentu bakal berdepan dengan cabaran,” katanya.

Jeniri berkata, gambaran yang lebih besar ialah politik Malaysia yang masih berteraskan kaum.

Katanya, persepsi terhadap DAP akan menjadi lebih teruk selepas ini.

“Masyarakat Melayu akan lebih berhati-hati, dan sudah tentu mereka tidak akan menyokong parti itu. DAP berdepan kesukaran yang lebih besar,” katanya.

Menurut Jeniri, antara yang menerima tempias ialah slogan “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh DAP selama ini.

Katanya, ia sukar dicapai dan fakta itu menjadi jelas dalam pemilihan CEC DAP baru-baru ini.