- Iklan -
Berita

66.8% dewasa terima dos penggalak, 37.2% kanak-kanak divaksinasi

Sementara itu, 91.6% populasi remaja lengkap divaksinasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak menunggu giliran vaksinasi di SK Putrajaya Presint 11(3). Gambar: Bernama
Kanak-kanak menunggu giliran vaksinasi di SK Putrajaya Presint 11(3). Gambar: Bernama

Sebanyak 15,711,005 individu dewasa atau 66.8% daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, sejumlah 22,951,201 atau 97.5% daripada populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,227,197 atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,850,360 individu atau 91.6% daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,947,122 atau 94.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, untuk populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sejumlah 1,319,899 individu atau 37.2% kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Semalam, sebanyak 47,608 dos vaksin diberikan melibatkan 5,296 suntikan pertama, 1,594 suntikan lengkap dan 40,718 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini 68,795,057 dos.

Dalam pada itu, menurut portal GitHub KKM, 64 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Perak mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 20 kes diikuti Kedah (lapan), Selangor (tujuh), Pulau Pinang (enam) dan Johor (lima).

Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing mencatatkan empat kes kematian, Kelantan dengan tiga kes, Melaka, Pahang dan Sabah masing-masing dua kes manakala satu kes dilaporkan di Terengganu.