- Iklan -
Berita

1MDB peroleh injunksi AS$1.4 bilion terhadap Jho Low dan bapanya

Ia bagi menghalang ahli perniagaan dalam buruan itu daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya di Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho. Gambar: AFP
Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho. Gambar: AFP

1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebuah anak syarikatnya memperoleh injunksi sementara dari Mahkamah Tinggi bagi menghalang ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau “Jho Low” daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya di Malaysia bernilai sehingga AS$1.03 bilion.

Mahkamah juga membenarkan permohonan injunksi sementara yang dipohon syarikat sama ke atas bapa Jho Low, Larry Low Hock Peng melibatkan aset bernilai AS$401.5 juta.

Peguam 1MDB Siva Kumar Kanagasabai berkata hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan injunksi itu dikuatkuasakan sehingga permohonan antara parti diselesaikan.

“Injunksi sementara diberikan dengan terma yang sama dengan perintah antara pihak yang dikeluarkan. Mahkamah menetapkan 25 Mei untuk pendengaran permohonan antara pihak,” kata peguam itu selepas prosiding yang berlangsung secara maya semalam.

1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) diwakili peguam Wong Chee Lin, Dhanyaa Shreeya, Kong Xin Qing dan Tommy Lim sementara M Puravalen, Chong Mun Fong dan Wong Hong Yi mewakili Jho Low dan bapanya.

Pada 15 Mac, Hayatul membenarkan permohonan injunksi mareva 1MDB dan Global Diversified yang merupakan plaintif pertama dan kelima dalam saman 1MDB terhadap Jho Low, bapa beliau dan beberapa individu lain.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya daripada membelanjakan tidak lebih daripada RM20,000 sebulan bagi setiap perbelanjaan sara hidup dan perbelanjaan guaman dan jika mereka mahu amaun yang lebih, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam-peguam 1MDB dan Global Diversified.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low; bapanya; ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe; kakak Jho Low, May Lin; adik lelakinya Taek Szen serta rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong.