Sunday, May 15, 2022

SPRM siasat Shafee berhubung cek dari Najib selepas terima aduan pada 2018, kata saksi

Saksi pendakwaan SPRM berkata siasatan terhadap peguam itu dibuat mengikut Akta SPRM dan akta pencegahan pengubahan wang haram.

Other News

Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa satu aduan dibuat pada 4 September 2018 terhadap peguam Muhammad Shafee Abdullah kerana disyaki menerima dua keping cek berjumlah RM9.5 juta dari Najib Razak.

Mohamad Farid Jabar, 37, berkata susulan aduan tersebut, siasatan terhadap peguam itu dibuat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata hasil siasatan mendapati, Najib telah mengeluarkan dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta ke atas nama tertuduh pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014 semasa perjumpaan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Beliau berkata kedua-dua cek itu tidak dibayar di atas nama firma guaman Shafee & Co dan bayaran tersebut tidak dikreditkan ke dalam mana-mana akaun firma guaman.

“RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat nasihat guaman yang diberikan tertuduh kepada Najib, parti dan perdana menteri sebelum ini kerana beliau telah memberikan khidmat guaman kepada klien dari Barisan Nasional atau Umno untuk 46 fail petisyen pilihan raya dari tahun 2004 dan 2006.

“Bayaran khidmat guaman sebanyak RM9.5 juta itu merupakan pendapatan terakru yang dikenakan cukai tetapi Muhammad Shafee tidak melaporkan pendapatan itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” kata saksi pendakwaan terakhir itu ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Shafee yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada LHDN.

Saksi berkata peguam veteran itu juga tidak melaporkan pendapatan RM9.5 juta tersebut sebagai pendapatan tahun kebelakangan yang belum dilaporkan di Bahagian E dalam Borang B Tahun Taksiran 2013 dan 2014.

Pada 13 September 2018, Shafee, 70, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung 27 April

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles