- Iklan -
Berita

Isteri bekas pegawai Goldman Sachs beri keterangan pembelaan dalam perbicaraan 1MDB

Lim Hwee Bin berkata jutaan wang yang dipindahkan ke akaunnya oleh isteri Tim Leissner, Judy Chan bukan dari 1MDB.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di  New York pada 8 Februari. Gambar: AFP
Bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng tiba di Mahkamah Persekutuan AS di New York pada 8 Februari. Gambar: AFP

Isteri bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng pada Isnin memberi keterangan dalam perbicaraan kes suaminya di Amerika Syarikat berhubung penyelewengan ratusan juta dolar dari 1MDB antara 2009 dan 2014.

Ng yang mengetuai Goldman di Malaysia, didakwa bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

Pendakwa raya berkata beliau membantu bekas bosnya, Tim Leissner dalam menyelewengkan wang dari 1MDB, selain turut didakwa bersubahat dalam mengubah wang hasil jualan bon dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan bagi pihak Goldman.

Bagaimapun, Ng, 49, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan tersebut.

Menurut Ng, sejumlah AS$35 juta yang diterimanya dari Leissner adalah hasil perniagaan yang sah antara isterinya dan isteri Leissner.

Isteri Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan pada Isnin bahawa sejurus selepas Ng mula bekerja di bawah Leissner pada pertengahan 2000-an, beliau melabur sejumlah 48 juta yuan – yang bernilai kira-kira AS$6 juta ketika itu – di sebuah syarikat China yang dimiliki keluarga isteri Leissner, Judy Chan.

Keterangan Lim itu dikemukakan pada hari kedua penghujahan pembelaan dalam perbicaraan yang bermula awal Februari lalu.

Menurut Lim, beliau dan Chan pernah bertengkar pada 2011, dan Chan memberitahunya supaya beliau melepaskan bahagiannya dalam perniagaan tersebut, di mana ia menunjukkan peningkatan hasil yang ketara.

Dalam keterangannya lagi, pada 2012, Lim berkata Chan memberitahunya bahawa beliau bersedia untuk memindahkan AS$26 juta kepadanya.

Ketika ditanya oleh peguam Ng, Marc Agnifilo sama ada wang yang dikatakan Chan akan dipindahkan kepada Lim adalah dari 1MDB, Lim menjawab, “Tidak sama sekali.”

“Wang itu mesti datang dari Judy dan keluarganya,” kata Lim.

Seorang peguam yang mewakili Chan tidak memberikan respons ketika diminta memberikan ulasan mengenainya.

Leissner yang mengaku bersalah pada 2018 atas pertuduhan serupa, memberikan keterangan pada Februari bahawa pelaburan Lim yang dibuat dalam perniagaan Chan adalah “cerita rekaan” Lim dan Ng bagi menutup bayaran sogokan itu supaya keraguan tidak timbul pada bank yang memproses dana tersebut.

Pertuduhan ke atas Ng itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pendakwa raya AS berkata AS$4.5 bilion dari $6.5 bilion yang diperolehi Goldman hasil jualan bon 1MDB telah diselewengkan dalam bentuk suapan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan subahat.

Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion dan cawangan Malaysianya mengaku bersalah di mahkamah AS.