Tuesday, May 17, 2022

Ajar buat duit, atau buat duit dengan seminar?

Ramai 'guru' dan 'sifu' jadian yang diikuti ramai namun membiarkan pengikutnya kecewa selepas menuntut bayaran yuran kelas mereka pada harga yang tinggi.

Other News

Kira-kira 10 tahun dahulu, Azizul Azli Ahmad mengikuti seorang rakan untuk menyertai satu seminar bisnes di Ipoh anjuran seorang guru pemasaran.

Ketika itu, dia sedang menyambung pengajian dalam peringkat doktor falsafah.

Seminar selama sehari itu percuma.

Namun separuh hari kelas itu, guru tersebut hanya menampilkan testimoni daripada anak-anak muridnya yang sudah berjaya.

“Hujung kelas, dia buka seminar berbayar untuk mereka yang berminat hendak belajar pemasaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Azizul berkata, apa yang diajar guru itu dan kisah-kisah yang dijaja dalam seminar-seminar mereka sebenarnya boleh didapati dalam buku-buku motivasi dan kewangan terkenal.

“Orang kita sebenarnya malas membaca, sebab itu sanggup bayar beribu ringgit.

“Padahal kalau baca buku, berapa puluh ringgit sahaja habis,” katanya.

Kebelakangan ini, imej kultus seakan-akan terbina dalam kalangan peserta sehingga menjadi taksub dengan idola.

Jumlah guru atau “sifu jadian” ini pula semakin meningkat naik apatah lagi dengan kehadiran media sosial.

“Prosedur operasi standard (SOP)” kelihatan seragam di seminar-seminar anjuran mereka.

Peserta akan dihiburkan dengan acara menyanyi di seminar, sebelum para sifu menjaja anak-anak murid mereka yang sudah berjaya sebagai “testimoni”.

Seminar yang kadang-kadang dianjurkan secara percuma atau pada harga diskaun akan diteruskan dengan ilmu asas sebelum mereka menawarkan “upselling” kelas dengan pakej yang mahal.

Pada peringkat ini ramai peserta terperangkap dengan persona sifu itu.

“Saya tak tahu sejak bila ada budaya ‘upselling’. Kesian mereka yang betul-betul datang untuk dapatkan ilmu bisnes, ada yang sanggup ‘swipe’ kad kredit untuk bayar yuran,” menurut Azizul yang kini mengajar di sebuah universiti tempatan.

‘PHD palsu’, pengunaan media

Taktik licik untuk membangunkan kredibiliti juga termasuk mendapatkan doktor falsafah yang diragui atau palsu, selain menjemput ahli politik dan menteri ke majlis-majlis anjuran mereka.

Muka guru-guru ini juga tidak lekang dalam media cetak atau di papan iklan di beberapa lebuh raya utama di negara.

Seorang peniaga yang mengusahakan perniagaan food truck, Suhaila Mahmud berkata, dia terdetik untuk menyertai seminar usahawan percuma selepas menonton iklan dalam televisyen.

“Seminar percuma ini hanya separuh hari dan lebih kepada untuk memberi motivasi.

“Semasa dalam seminar, baru dia pujuk sertai seminar berbayar antara RM999 hingga RM3,999,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, seminar boleh dianggap memberi semangat dan idea untuk mengembangkan perniagaan.

Sehingga satu tahap, dia mampu membuka kedai dan menjadi pembekal makanan dan minuman.

Teruja dengan pertumbuhan bisnesnya, Suhaila mula menyertai seminar berbayar sebagai ahli yang mencecah RM60,000.

Bayaran dibuat secara tahunan atau bulanan.

Yuran keahlian sahaja mencecah RM15,000.

“Pada awalnya, seminar ini membantu tetapi lama kelamaan ramai orang yang sertai jadi mentor sukar berikan tumpuan.

“Saya mula rasa terkilan apabila mentor banyak tumpukan kepada usahawan yang sebenarnya sudah berjaya atau sekurang-kurangnya sudah ada perniagaan yang besar tapi tak pandai nak urus,” tambahnya.

Saham, forex

Bukan sahaja bidang pemasaran, kegilaan menjual kelas ini turut merebak ke kelas saham dan pertukaran mata wang (forex).

Mengambil kesempatan atas sifat masyarakat yang ingin tahu dan mahu mengubah hidup, guru dan “sifu jadian” ini pandai menyusun strategi serta memposisikan diri mereka seakan selebriti.

Sekurang-kurang dua guru saham melibatkan diri dalam menghasilkan muzik video bersama selebriti dalam usaha melonjakkan visibiliti mereka dalam kalangan pelabur saham runcit.

Sifu saham tumbuh seperti cendawan selepas hujan pada 2020, ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyaksikan bilangan pelabur runcit meningkat.

Jumlah dagangan Bursa mencecah ke tahap paling tinggi dalam sejarah dengan 15.62 bilion saham didagangkan pada 4 Ogos 2020.

Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, pengasas bersama SCRUT dan INTEREPO, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pangkalan data dalam talian berkata, sifu-sifu menggunakan taktik iklan yang “misleading”beserta penulisan yang menarik, jualan e-buku yang memberi harapan kepada masyarakat untuk melabur saham.

“Bukan semua sifu itu berdagang saham, dan mereka tak jadi kaya dengan berdagang saham sebenar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, sukar untuk memahami mengapa mereka yang membuat duit dengan berdagang saham ingin menawarkan kelas kepada orang ramai.

Menurut Aliff, mereka yang hendak memasuki kelas wajib meminta rekod pencapaian dagangan sifu selama beberapa tahun kebelakang sebelum seseorang individu itu mengajar.

“Kalau mereka tak berani dedahkan, biar mereka sahaja yang ‘trading’.

“Jangan ajak orang lain rugi sekali. Jika mereka sendiri gagal, apa yang mereka akan ajar nanti?”

Aliff juga mencabar mana-mana sifu untuk memberikan kaunter pilihan mereka setiap hari supaya kita semua boleh melakukan menilai kejayaan pilihan mereka selain melakukan “backtesting” secara terbuka teknik atau kaedah trading mereka.

“Analisis teknikal dalam dagangan saham ini melibatkan ilmu statistik dan kebarangkalian. Ia melibatkan sejumlah data yang boleh dibuktikan dengan tabulasi keuntungan dan kerugian.

“Ia tidak 100% tepat, tetapi jumlah menang atau untung mestilah jauh melebihi jumlah kalah atau rugi dalam nisbah yang ketara.” kata Aliff.

Aktiviti menjual seminar bagaimanapun sukar diambil tindakan kerana apa yang dilakukan para sifu ini sah di sisi undang-undang, walaupun boleh dianggap tidak bermoral kerana hanya menjual “air liur”atau pun “menjual” seminar dengan harga terlalu tinggi.

Lebih parah, sesetengahnya tidak diketahui latar belakang mereka.

Ada yang meniru taktik seminar dari luar negara sebelum diolah semula untuk audien tempatan.

Bertambah meruncing apabila seminar mereka melangkaui batasan adab dan moral.

Azizul mendedahkan, ada sifu-sifu pemasaran menggalakkan pemasaran negatif atau “bad marketing”.

“Saya fikir golongan ini tidak sengaja menyiarkan kandungan yang tidak beradab, rupanya memang ada sifu yang ajar sedemikian.

“Sebagai Muslim, kita tak boleh halalkan benda buruk begini,” katanya.

Suhaila pula mendedahkan ada soalan asas-asas perniagaan yang ditanya usahawan namun tidak mampu dijawab oleh mentor walaupun sudah membayar beribu-ribu.

Katanya, jawapan yang diberikan samar-samar dan tidak menjawab persoalan.

“Bila perniagaan dah maju, tak boleh sekadar terima motivasi sahaja, perlu titik beratkan tindakan untuk memastikan perniagaan terus maju dan berdaya tahan.”

Menurut Suhaila, jangkaannya ternyata meleset selepas ribuan ringgit hangus dalam sebulan dan mentor-mentor perniagaan tidak mampu membantu.

Ketika itu, nasihat dan kata-kata tidak mampu menyelesaikan masalah.

“Saya kena marah dan dituduh tidak ikut nasihatnya dan ketika ingin berhenti, mereka tidak kisah langsung,” katanya yang terpaksa menutup kedai akibat tidak mampu membayar sewa kedai dan caruman pekerja.

Azizul pula berkata, zaman kini berbeza dengan zaman motivasi beberapa dekad lepas yang menyaksikan naiknya nama penceramah-penceramah motivasi.

Katanya, di era Instagram dan TikTok ini sudah menjadi “zaman inspirasi”.

“Orang-orang ini menjual inspirasi dengan menunjukkan gaya hidup, mempamerkan kejayaan. Pola pemikiran masyarakat pun berubah.

“Ada sifu yang sanggup menyewa kereta mewah untuk ditayangkan di media sosial, tapi jika kita dedahkan, mereka ugut hendak saman,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Aliff pula berkata ramai yang datang ke kelas-kelas saham dengan harapan boleh mengubah nasib mereka akibat terpengaruh dengan iklan-iklan yang menunjukkan aktiviti berdagang saham itu mudah mendapatkan keuntungan.

“Pengakhirannya, ramai yang rugi. Yang kaya dan untung hanyalah sifu-sifu saham yang berniaga menjual kelas sahaja.”

Suhaila bertindak “menutup buku”dengan mentor tersebut pada 2017 dan membatalkan keahlian seminar.

Mengimbau kembali, katanya usahawan wajar mencari pakar dalam bidang perniagaan yang diceburi.

“Kalau bidang makanan, carilah pakar dalam bidang itu. Lain perniagaan, lain cabaran.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles