- Iklan -
Berita

Usaha guru halang kanak-kanak tanpa kerakyatan hidu gam di Semporna

Dihalang menghadiri sekolah awam kerana tiada dokumen pengenalan diri, hanya segelintir daripada kanak-kanak ini mencari perlindungan di sekolah khas untuk mereka.

Syaza Norazharuddin
3 minit bacaan
Kongsi
Murid-murid duduk dalam bulatan di Sekolah Pemulihan Gam, Semporna, Sabah. Gambar: Facebook
Murid-murid duduk dalam bulatan di Sekolah Pemulihan Gam, Semporna, Sabah. Gambar: Facebook

Dalam sebuah bilik darjah sederhana di Semporna, Sabah, Siti Syamaika Abdullatif mengalu-alukan kehadiran murid-murid baru bagi sesi persekolahan tahun ini.

Sekumpulan murid, yang sebahagiannya berusia seawal enam tahun, teruja ketika membuka buku untuk memulakan sesi pembelajaran.

Mereka bukan murid biasa, dan Sekolah Pemulihan Gam yang dihadiri juga bukanlah sekolah biasa.

Ditubuhkan di bawah inisiatif Sekolah Alternatif yang didirikan aktivis, sekolah itu berusaha untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah yang jika tidak dibantu akan menjalani seluruh kehidupan tanpa sebarang pendidikan formal.

Di Semporna yang terkenal dengan hidupan laut dan airnya yang jernih, terdapat ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang kebanyakannya adalah anak-anak diabaikan ibu bapa.

Sebilangan besar daripada mereka adalah daripada masyarakat Bajau Laut atau pedalaman yang jauh dari kawasan bandar.

Di pekan-pekan kecil, kanak-kanak ini akan duduk dalam kumpulan dengan pakaian tidak terurus sambil meminta sedekah di tepi jalan.

Di Sabah, kanak-kanak tanpa kerakyatan dianggarkan sebanyak 50,000 orang di mana kebanyakan mereka berketurunan Indonesia dan Filipina.

Angka yang besar itu mencerminkan masalah yang dihadapi golongan tanpa kerakyatan di Sabah dan isu sosial yang timbul ekoran status mereka itu.

Di Sekolah Pemulihan Gam, kanak-kanak turut diajar menjaga asas kebersihan seperti menggosok gigi. Gambar: Facebook

Bercakap dalam wawancara bersama MalaysiaNow, Syamaika berkata menjadi perkara biasa untuk melihat golongan kanak-kanak ini melakukan aktiviti menghidu gam – satu tabiat menjadi kebiasaan rakan-rakan, jiran dan juga ahli keluarga mereka.

“Ia sama besar dengan isu dadah,” katanya.

“Mereka jual gam kepada kanak-kanak ini dengan harga 20 hingga 50 sen sebekas. Mereka juga menyediakan pondok untuk kanak-kanak ini menghidu gam.”

Jualan gam kepada golongan itu juga dilihat sebagai satu perniagaan yang menguntungkan.

Penjual akan membeli lebih dari satu liter gam dan menjual bahan berbahaya itu kepada kanak-kanak dalam jumlah yang kecil.

Ekoran itu, Sekolah Pemulihan Gam menetapkan salah satu matlamatnya adalah untuk menjauhkan kanak-kanak tanpa kerakyatan ini daripada terus berpeleseran di jalan raya dan menjauhi penjual bahan tersebut.

Ia bukan tugas mudah kerana tabiat itu turut didorong isu yang sudah lama berakar umbi seperti kemiskinan dan kelaparan.

Ramai kanak-kanak yang terjerumus dalam tabiat tersebut berasal daripada keluarga miskin di mana ibu bapa mereka tidak mampu untuk memberikan nafkah kepada keluarga.

Bagi mereka, menghidu gam adalah cara untuk melupakan realiti kehidupan dan kelaparan yang ditanggung untuk beberapa jam.

“Sesetengah kanak-kanak yang tidak boleh ke sekolah dibayar RM5 oleh penjual gam untuk memantau jalan raya dan memaklumkan kepada mereka jika ada polis (yang meronda),” tambah Syamaika.

Masalah yang dihadapi ini sangat berkait dengan isu utama iaitu mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara – tanpa dokumen rasmi atau bukti kewarganegaraan, tiada seorang pun daripada kanak-kanak ini boleh menghadiri sekolah awam.

Pengasas bersama Sekolah Pemulihan Gam Mukmin Nantang berkata, guru-guru yang kebanyakannya pernah menjadi pelajar Sekolah Alternatif cuba melakukan usaha ini sehabis baik.

Di samping mata pelajaran akademik, mereka juga turut mengajar kanak-kanak kepentingan kebersihan asas seperti mencuci tangan, menggosok gigi dan memotong kuku.

“Kami juga mempunyai kelas lakonan dan muzik untuk menjadikan sesi pembelajaran mereka menarik dan menyeronokkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun begitu, sekolah yang mereka tubuhkan hanya boleh menerima maksimum 70 murid daripada ribuan lagi kanak-kanak yang masih berpeleseran di jalanan sambil menjinjit plastik gam di tangan.

Mukmin berkata inisiatif daripada kerajaan negeri untuk membantu menangani isu itu terlalu sedikit.

“Isu tiada kerakyatan ini tidak menjadi perkara penting bagi orang politik,” katanya.

“Isu ini terus terpinggir kerana kurang tekanan daripada orang ramai.”

Namun begitu, para guru di sekolah itu tetap meneruskan usaha tersebut yang termampu dengan sumber kecil yang mereka ada.

Cabaran terbesar bagi mereka ialah menamatkan tabiat ketagihan kanak-kanak menghidu gam.

Ia adalah usaha yang sangat sukar kerana ramai daripada mereka sering mengulangi tabiat itu selepas berhenti.

Namun bagi guru-guru di Sekolah Pemulihan Gam, usaha mereka akan berbaloi jika ia dapat membantu kanak-kanak selamat di bilik darjah dan jauh daripada sebarang gejala sosial.