- Iklan -
Berita

Selangor benarkan solat jemaah tanpa penjarakan fizikal

Hanya individu yang telah lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau di samping turut dikehendaki membawa sejadah sendiri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bermula 1 April, penduduk Selangor bakal menunaikan solat jemaah tanpa SOP penjarakan fizikal selepas dua tahun pandemik melanda negara.
Bermula 1 April, penduduk Selangor bakal menunaikan solat jemaah tanpa SOP penjarakan fizikal selepas dua tahun pandemik melanda negara.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri itu tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April, selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Bagaimanapun, Jais berkata kebenaran tersebut adalah tertakluk dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan termasuk mereka yang dibenarkan hadir ke masjid atau surau hanya individu yang telah lengkap divaksinasi.

Dalam kenyataannya, ia berkata hanya individu yang telah divaksinasi perlu mengikut ketetapan kementerian kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, bagi individu berusia 18 tahun ke bawah pula, mereka yang telah lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir.

Mereka yang hendak melaksanakan ibadah juga turut dikehendaki membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka.

Langkah untuk membatalkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal di masjid, surau dan rumah ibadat agama lain diumumkan pada Mac lalu ketika kerajaan mengumumkan peralihan fasa dari pandemik ke endemic yang akan bermula pada April.

SOP itu dilaksanakan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020.