Tuesday, May 17, 2022

KSM perinci pelaksanaan gaji minimum RM1,500, akan dibentang kepada Kabinet

Perincian model serta kaedah pelaksanaan kadar gaji minimum itu akan mengambil kira kepentingan semua pihak.

Other News

Kementerian sumber manusia (KSM) sedang memperincikan model serta kaedah pelaksanaan perintah gaji minimum 2022 termasuk menentukan jenis perusahaan, jenis pekerjaan dan penggajian yang boleh melaksanakan perintah gaji minimum RM1,500 secara berperingkat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata perincian model serta kaedah itu akan dibentang pada mesyuarat jemaah menteri akan datang dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Kementerian memahami kegusaran golongan peniaga kecil dan sederhana apabila nilai paras gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 kelak, jadi kami akan adakan perbincangan dengan kementerian pembangunan usahawan dan koperasi dalam masa terdekat sebelum sesuatu ketetapan dapat dicapai bagi pelaksanaan perintah gaji minimum ini.

“Kementerian juga telah merancang strategi dan pelan tindakan bagi memastikan agenda pelaksanaan gaji minimum dapat membantu rakyat untuk meningkatkan pendapatan serta menampung keperluan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu, pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Bagi memastikan kadar gaji minimum itu dipatuhi semua majikan termasuk masyarakat di luar bandar, beliau berkata Seksyen 43 Akta Majlis Perlindungan Gaji Negara (Akta 372) menggariskan bahawa majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan perintah gaji minimum boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Katanya dalam hal ini, Akta 372 memberi kuasa kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk menjalankan penguatkuasaan dan penyiasatan berhubung pelaksanaan gaji minimum itu.

“Aktiviti penguatkuasaan ini bukan sahaja dijalankan kepada pihak industri malah ia merangkumi semua majikan swasta di Malaysia termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga terlibat.

“Sehubungan itu, semua majikan swasta dikehendaki mematuhi perintah gaji minimum yang baru ini,” katanya dan memberitahu pelaksanaan gaji minimum itu dijangka dapat menyumbang kepada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi.

Beliau berkata ini adalah sebahagian inisiatif kerajaan untuk meningkatkan sumbangan pampasan pekerja terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 40% selain bagi mencapai sasaran gaji penengah bulanan RM2,900 menjelang 2025 menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Pelaksanaan gaji minimum ini adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dan peningkatan gaji minimum baharu akan dapat merangsang ekonomi domestik melalui peningkatan kuasa beli pekerja.

“Secara tidak langsung, ia akan memberi suntikan kepada ekonomi domestik dan memberi semula pulangan manfaat kepada majikan. Kerajaan turut menggalakkan amalan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti berlandaskan penciptaan dan perkongsian kekayaan bersama antara majikan dan pekerja,” kata Awang.

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles