- Iklan -
Berita

Kelantan benar solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal mulai April

Semua aktiviti lain termasuk program qiamullail turut dibenarkan tanpa penjarakan fizikal.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Selepas 1 April, Muslim di Kelantan akan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal selari peralihan ke fasa endemik.
Selepas 1 April, Muslim di Kelantan akan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal selari peralihan ke fasa endemik.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan solat fardu, solat Jumaat dan solat tarawih dilakukan tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri itu bermula 1 April ini sejajar dengan fasa peralihan ke endemik Covid-19.

Yang di-Pertua Maik Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

“Selain solat fardu dan solat Jumaat, turut dibenarkan solat tarawih sama ada lapan atau 20 rakaat dan qiamullail pada bulan Ramadan.

“Semua aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas, umum dan lain-lain termasuk program ihya Ramadan adalah dibenarkan beroperasi seperti biasa tanpa penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata pihak masjid, surau dan musala hanya dibenarkan menyediakan menu jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

“Hanya jemaah yang tidak mempunyai apa-apa gejala Covid-19 sahaja dibenarkan hadir manakala jemaah bergejala tidak dibenarkan hadir.

“Semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka dan diwajibkan membawa sejadah masing-masing serta tidak dibenar bersalaman antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) masjid, surau dan musala yang lain dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“SOP masjid, surau dan musala ini adalah selaras dengan pandangan yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan (KKM),” katanya.

Mohamad berkata Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau, musala.

“Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.